2023 berakhir sebagai tahun paling banyak kematian - PBB

Seorang wanita Palestin meratap pemergian ahli keluarganya yang terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Israel di Semenanjung Gaza, pada Selasa. - Foto AP
Seorang wanita Palestin meratap pemergian ahli keluarganya yang terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan Israel di Semenanjung Gaza, pada Selasa. - Foto AP
A
A
A

NEW YORK - Koordinator Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Keamanan di Asia Barat Tor Wennesland berkata, 2023 yang akan melabuhkan tirainya sebagai satu daripada tahun yang menyaksikan paling banyak kematian dalam sejarah konflik Palestin-Israel.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada sesi Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi di Asia Barat, termasuk persoalan Palestin.

Wennesland turut menyentuh mengenai situasi kemanusiaan yang semakin teruk di seluruh Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Palestin WAFA.

"Penghantaran bantuan kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus berdepan cabaran yang hampir tidak dapat diatasi," katanya.

Menurut beliau, jumlah penduduk dipaksa berpindah dan pertempuran sengit sukar dibayangkan, sistem tindak balas kemanusiaan berada di ambang kehancuran.

Beliau juga mengutuk pembunuhan orang awam di Gaza, termasuk wanita dan kanak-kanak selain menyatakan kesedihannya berhubung kematian penduduk, termasuk 131 kakitangan PBB yang terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Wennesland pada masa sama menyuarakan 'kebimbangan mendalam' berhubung ketegangan yang semakin meningkat di Tebing Barat yang diduduki, termasuk di Baitulmaqdis Timur.

Beliau turut bimbang terhadap serangan yang dilakukan oleh pendatang haram Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Artikel Berkaitan:

"Semua pelaku keganasan mesti bertanggungjawab dan segera dibawa ke muka pengadilan," katanya.

WAFA melaporkan Wennesland turut terkejut dengan pelbagai insiden pegawai yang mengagungkan keganasan dan menggalakkan pembunuhan orang awam.

Wennesland berkata, tindakan merampas tanah Palestin untuk dijadikan penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, mengancam usaha mewujdukan negara Palestin yang merdeka.

Beliau mengulangi bahawa penempatan haram Israel merupakan pencabulan terang-terangan terhadap resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa serta menyeru rejim Israel untuk menghentikan aktiviti itu serta-merta.

Menurut beliau, PBB kekal komited untuk menyokong rakyat Palestin dan Israel dalam menamatkan pendudukan dan menyelesaikan konflik selaras dengan undang-undang antarabangsa, resolusi PBB yang berkaitan dan perjanjian dua hala dalam usaha mencapai penyelesaian dua negara.

Sekurang-kurangnya 19,660 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 52,500 lagi cedera dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat sejak 7 Oktober. - Bernama