Hospital terakhir Gaza musnah dalam serangan Israel

Jabatan Kecemasan Al-Shifa, yang musnah akibat pengeboman Israel, 'bermandikan darah' dan 'memerlukan pemulihan'. - Foto X/TRTWorldNow
Jabatan Kecemasan Al-Shifa, yang musnah akibat pengeboman Israel, 'bermandikan darah' dan 'memerlukan pemulihan'. - Foto X/TRTWorldNow
A
A
A

GAZA - Salah sebuah hospital terakhir yang masih bertahan di Semenanjung Gaza utara tidak dapat lagi beroperasi sejak Selasa selepas teruk diserang oleh tentera Israel.

Pengarah Hospital Al-Ahli, Fadel Naim memberitahu, tentera Israel menyerang hospital dan menahan ramai doktor, kakitangan perubatan dan pesakit selain memusnahkan sebahagian daripada kawasan bangunan itu.

Menurutnya, serangan Israel mengakibatkan hospital tidak dapat lagi beroperasi, selain pihaknya tidak lagi boleh menerima mana-mana pesakit atau mangsa yang cedera.

Tambah beliau, sekurang-kurangnya empat orang yang cedera akibat tembakan Israel pada Isnin di hospital terbabit, meninggal dunia sehari kemudian akibat kecederaan yang dialami.

Hospital Al-Ahli, yang juga dikenali sebagai Hospital Baptist atau Ahli Arab, mengalami kerosakan teruk akibat letupan di tempat letak keretanya pada 17 Oktober lalu, mengakibatkan sekurang-kurangnya puluhan mangsa maut.

Kumpulan pejuang Hamas dan Jihad Islam menuduh serangan itu dilakukan Israel, namun ia dinafikan rejim itu dan sebaliknya menyalahkan roket yang dikatakan salah ditembak oleh Jihad Islam menyebabkan letupan berkenaan.

Hospital dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, namun ia berulang kali diserang Israel di Semenanjung Gaza sejak bermulanya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober lalu.

Tentera Israel sebelum ini menyerbu kemudahan perubatan lain di Gaza, termasuk Al-Shifa, hospital terbesar di wilayah itu, yang kini beroperasi pada kapasiti minimum dengan pasukan yang sangat kecil.

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, Hospital Al-Ahli menerima pesakit kritikal daripada Al-Shifa untuk pembedahan.

Menurut WHO, Jabatan Kecemasan Al-Shifa, yang musnah akibat pengeboman Israel, 'bermandikan darah' dan 'memerlukan pemulihan'.

Israel menghadapi peningkatan tekanan antarabangsa susulan kenaikan jumlah kematian orang awam dan kemusnahan hospital di Gaza. - Awani