‘Tidak ubah seperti penjara Guantanamo’

Orang awam Gaza yang diculik tentera Israel dan dibawa ke pusat tahanan Sde Teman. - Foto Agensi
Orang awam Gaza yang diculik tentera Israel dan dibawa ke pusat tahanan Sde Teman. - Foto Agensi
A
A
A

GENEVA - Pemantau hak asasi manusia, Euro-Med menggesa siasatan antarabangsa dijalankan terhadap penyeksaan serta pembunuhan warga Palestin yang diculik dan ditahan di sebuah fasiliti di wilayah Israel yang dianggap seperti penjara Guantanamo.

Euro-Med yang berpangkalan di Geneva, Switzerland dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah mengumpulkan keterangan yang mengesahkan laporan baru-baru ini dalam media Israel mengenai hukuman mati di lapangan oleh rejim Zionis terhadap mangsa culik Gaza.

Tambah kenyataan itu, kem tentera Sde Teman telah diubah menjadi penjara baharu seperti Guantanamo, di mana tahanan kehilangan nyawa mereka selepas mengalami penyeksaan dan penganiayaan melampau.

"Tentera Israel menggunakan reban ayam terbuka untuk menempatkan banduan dan menahan makanan atau minuman untuk jangka masa yang lama.

"Rakyat Palestin yang ditahan di Sde Teman dikurung dalam keadaan tidak berperikemanusiaan, ditutup mata dan tangan diikat semasa disoal siasat," menurut Euro-Med.

Salah seorang tahanan yang dibebaskan dan enggan dinamakan memberitahu bahawa dia menyaksikan tentera Israel menembak mati lima orang yang diculik dalam kejadian berasingan.

Sebelum ini, akhbar berbahasa Ibrani Haaretz melaporkan kematian enam warga Palestin di penjara Israel sejak permulaan perang di Gaza.

Laporan itu menyebut, punca kematian mereka tidak diketahui walaupun terdapat bukti keganasan.

Artikel Berkaitan:

Penjara Guantanamo di Cuba menempatkan suspek pengganas dan menjadi subjek penyeksaan mental dan fizikal tentera Amerika Syarikat (AS).

Ia dibuka oleh pentadbiran George W Bush dan dikaitkan dengan pelbagai kontroversi sehingga mendapat kecaman dunia. - Agensi