'Tak sampai RM10 dapat beli sebuah apartmen'

BEIJING – Tidak sampai RM10, sebuah apartmen di wilayah Heilongjiang, China berjaya dijual pada harga hanya 11 yuan (kira-kira RM6.50) menerusi lelongan khas sempena kempen jualan Double 11.
Urus niaga luar biasa itu menarik perhatian ramai apabila seramai 1,677 pembida mengambil bahagian dalam lelongan berkenaan yang berlangsung menerusi platform Alibaba Auction.
Apartmen dua bilik tidur berkeluasan 68 meter persegi di tingkat tujuh itu ditawarkan pada harga permulaan hanya satu yuan, dengan kenaikan minimum bidaan sebanyak 0.01 yuan (kurang daripada satu sen).
Rekod platform menunjukkan sebanyak 1,001 bidaan dikemukakan sebelum lelongan berakhir pada 5 November lalu.
Pembeli yang tidak didedahkan identitinya dari wilayah Jiangsu-Zhejiang di timur China berjaya mendapatkan hartanah itu selepas menjadi individu pertama mengemukakan bidaan pada harga maksimum 11 yuan.
Harga pembelian bersama yuran transaksi platform berkenaan juga dilaporkan sudah dijelaskan.
Pembeli itu menerusi siaran langsung lelongan berkata, dia tidak mempunyai rancangan untuk menetap di Heilongjiang, sebaliknya mahu menggunakan apartmen berkenaan sebagai tempat persinggahan ketika bercuti pada musim sejuk.
Bagaimanapun, pembelian pada harga serendah itu tidak bermakna pemilik baharu berkenaan terlepas daripada kos tambahan.
Dia masih perlu membayar kira-kira 2,000 yuan (RM1,220) bagi cukai pindah milik sebelum proses pertukaran hak milik dapat diselesaikan.
Lebih menarik, aplikasi hartanah tempatan menganggarkan nilai pasaran unit terpakai itu sekitar 40,000 yuan (RM24,400).
Malah, harga purata jualan semula hartanah di kompleks sama dianggarkan kira-kira 2,700 yuan (RM1,650) bagi setiap meter persegi.
Pengurus agensi lelongan memberitahu Fengmian News bahawa transaksi berkenaan merupakan sebahagian daripada promosi Double 11 Alibaba Auction, dengan platform itu menanggung perbezaan harga hartanah terbabit.
Tawaran luar biasa itu turut mencetuskan pelbagai reaksi pengguna media sosial.
Ada yang mengakui cemburu kerana hanya mengetahui mengenai lelongan berkenaan selepas ia berakhir, manakala sebahagian pengguna lain mempersoalkan kos penyelenggaraan tahunan sekiranya apartmen itu jarang diduduki.
Dalam pada itu, pakar undang-undang mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu ghairah mengejar tawaran hartanah pada harga rendah tanpa meneliti latar belakang dan risiko transaksi.
Antara perkara yang perlu diberi perhatian termasuk status hak milik yang tidak jelas, tunggakan cukai dan yuran serta kemungkinan berdepan kos perundangan tinggi sekiranya timbul pertikaian.
Peguam Beijing Jinsu Law Firm, Wang Yuchen berkata, bakal pembeli perlu meneliti semua risiko berkaitan sebelum membuat keputusan mendapatkan hartanah menerusi lelongan.
Fenomena lelongan hartanah pada harga luar biasa rendah bukan perkara baharu di China.
Pada November 2024, seorang wanita dilaporkan membeli sebuah apartmen tepi laut berkeluasan 40 meter persegi di Weihai, wilayah Shandong, pada harga 11 yuan (kira-kira RM6.50), walaupun nilai hartanah itu kurang daripada 50,000 yuan (RM30,550).
Pemain industri berkata, tawaran lelongan pada harga rendah sedemikian bertujuan menarik perhatian orang ramai selain mencetuskan perbualan menjelang kempen jualan hartanah seterusnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
