Covid-19: Tak wajib tapi galak pakai pelitup muka dalam pengangkutan awam

Orang ramai dilihat mula mengenakan pelitup muka semasa hendak menggunakan perkhidmatan bas awam di Pusat Pengangkutan Terminal 1 di Seremban. - Foto Bernama
Orang ramai dilihat mula mengenakan pelitup muka semasa hendak menggunakan perkhidmatan bas awam di Pusat Pengangkutan Terminal 1 di Seremban. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan di dalam pengangkutan awam buat masa ini namun, orang ramai digalakkan memakainya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, pemakaian pelitup digalakkan semasa orang ramai berada di dalam mana-mana pengangkutan awam berikutan peningkatan kes baharu Covid-19 yang dilaporkan sejak kebelakangan ini di seluruh negara.

"Sebarang dasar atau peraturan berkenaan pemakaian pelitup muka ini hanya boleh ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. Kementerian Pengangkutan tidak akan menetapkan dasar kita sendiri (berkaitan hal ini).

"Setakat ini, tidak ada kewajipan (memakai pelitup muka semasa berada dalam pengangkutan awam), kita hanya menggalakkan. Jadi, itu terpulang kepada penumpang atau orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kerjasama dan Pertukaran Serantau Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu China (ChongQing)-Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keadaan semasa kes Covid-19 di Malaysia masih terkawal dan tidak membebankan fasiliti kesihatan sedia ada susulan pengukuhan Pelan Pengurusan Covid-19 KKM.

Dr Dzulkefly berkata, kerajaan juga tidak bercadang mengulangi sekatan yang pernah dilaksanakan sebelum ini seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) meskipun berlaku peningkatan kes Covid-19 ketika ini.

Kes Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-50 iaitu dari 10 hingga 16 Disember adalah 20,696 kes iaitu peningkatan 62.2 peratus berbanding 12,757 kes pada ME49. - Bernama

Artikel Berkaitan: