Covid-19: Orang ramai boleh ‘walk-in’ ambil dos penggalak ketiga

Dari kiri: Dr Norhayati, Dr Muhammad Radzi dan Dr Dzulkefly ketika sidang media khas di Kompleks E KKM, di sini pada Isnin.
Dari kiri: Dr Norhayati, Dr Muhammad Radzi dan Dr Dzulkefly ketika sidang media khas di Kompleks E KKM, di sini pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, prosedur pengambilan vaksin itu juga boleh dilakukan secara janji temu menerusi aplikasi digital, MySejahtera.

“Nak ‘walk in’ di klinik kesihatan boleh, nak buat janji temu pun boleh, kita (KKM) beri kemudahan.

“Stok vaksin masih mencukupi buat masa ini, terutama sekali untuk mereka yang mempunyai risiko atau berkomorbiditi tinggi," katanya ketika sidang media khas di Kompleks E KKM, di sini pada Isnin.

Hadir sama ke sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Dr Muhammad Radzi menambah, pihaknya tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes menjelang minggu cuti tahun baharu, persekolahan dan Hari Natal akan datang.

Bagaimanapun jelasnya, KKM akan terus memantau perkembangan kes Covid-19 termasuk varian baharu agar situasi berada dalam keadaan terkawal.

“Kita harap dengan langkah pencegahan yang dibuat ini akan berlakunya penurunan kes Covid-19,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kegusaran orang awam tentang kemasukan pelancong asing ke dalam negara, Dr Norhayati memaklumkan, KKM akan terus melakukan pemantauan sama ada melibatkan warga asing dan tempatan.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu bahawa pihaknya tidak bercadang untuk membuka semula pusat pemberian vaksin (PPV) buat masa ini.

Menurutnya lagi, tiada keperluan untuk melakukan pendekatan sebegitu memandangkan keadaan Covid-19 dalam negara masih terkawal.

“Individu yang mahu mengambil suntikan vaksin boleh hadir ke klinik kesihatan atau hospital terdekat,” ulas Dr Norhayati.