Ramai tak setuju pemberian dos penggalak ketiga Covid-19

Laporan Sinar harian
Laporan Sinar harian
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan pemberian dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pada Khamis menerima pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat Malaysia.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar Lembah Klang mendapati, rata-rata responden meluahkan rasa kurang senang dan mendakwa pelaksanaan prosedur itu berkemungkinan lebih merisikokan tahap kesihatan rakyat.

Peniaga barangan dalam talian, Sheikh Mohd Hafez Sheikh Mansor, 42, berkata, tiada keperluan melaksanakan prosedur tersebut memandangkan dia sendiri masih dijangkiti virus berkenaan meskipun sudah mengambil dua suntikan wajib dan satu dos penggalak.

Malah, menurutnya, pemberian vaksin setakat ini sudah memadai dan kerajaan tidak perlu menambah sebarang langkah pencegahan dengan alasan untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

“Saya rasa tak perlu dilaksanakan, buat apa tambah dos ketiga kalau memang akan terkena jangkitan juga.

“Kali pertama jangkitan saya rasa biasa saja, tetapi kali kedua agak teruk dan baru habis kuarantin minggu lalu,” katanya.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis menyarankan rakyat mengambil dos penggalak ketiga terutama bagi golongan rentan dan berisiko tinggi berikutan peningkatan kes yang semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini.

Menurut Dr Dzulkefly, bekalan vaksin sedia ada mencukupi bagi menampung keperluan rakyat sebagai usaha kerajaan untuk mengekang penularan jangkitan mutasi dan strain baharu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pengusaha kafe, Lisa Subhi, 39, tidak bersetuju dengan saranan KKM kerana mendakwa kesan daripada vaksin melemahkan tahap kesihatannya berbanding sebelum mengambil dos suntikan itu.

“Sepanjang saya ambil dua dos, saya rasa badan tidak berapa okey dan kesihatan merosot.

“Sekarang saya lebih mementingkan pemakanan seimbang, bersenam dan bergiat aktif untuk meningkatkan imunisasi badan. Saya boleh rasa badan bertambah baik selepas jalani gaya hidup sihat,” ujarnya.

Pekerja swasta, Norhisham Abdullah, 54, turut senada dengan jawapan tidak bersetuju.

“Dos ketiga ini tak perlu sebab suntikan kedua pun dah ramai yang sakit.

“Semasa dos kedua pun ramai tak setuju tapi terpaksa kerana peraturan mengatakan mereka yang tak ambil dos kedua tak dibenarkan ke luar negara,” ulasnya.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan usahawan, Datuk Faizal Mokhtar, 44, yang berpendapat pemberian dos penggalak ketiga vaksin dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan terutamanya buat golongan rentan.

“Tapi saya harap KKM dan menteri kena kaji semula perkara ini memandangkan masih ramai yang belum ambil dos kedua,” jelas beliau.

Pelajar, Faiqah As'ari, 19, berkata, orang ramai perlu mengambil suntikan penggalak pada kali ini demi kebaikan rakyat dan bersama-sama mencegah penyebaran wabak membawa maut itu bagi mengurangkan trend penularan dalam negara.

Sementara itu, di BANGI, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan telah mengarahkan Dr Dzulkefly untuk memantau keadaan semasa Covid-19 dalam negara walaupun ketika ini peningka-tannya tidak serius.

“Dia (Dzulkefly) telah pantau (peningkatan kes) walaupun kesannya tidak serius, tetapi minta orang waspada dari sudut kesihatan. Jaga kesihatan,” katanya.

Kes Covid-19 dalam negara dilaporkan meningkat kepada 12,757 kes pada Minggu Epidemiologi ke-49 iaitu dari 3 hingga 9 Disember lepas berbanding 6,796 kes dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Kadar kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan meningkat 1.4 peratus berbanding minggu sebelumnya serta pengisian katil unit rawatan rapi (ICU) juga meningkat 1.4 peratus.