Cadangan pilihan raya PBT akan dibincang bersama KPKT - Dr Zaliha

Dr Zaliha (tengah) mendengar taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL hari ini. - Foto Bernama
Dr Zaliha (tengah) mendengar taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung cadangan mengadakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) khususnya di ibu negara.

Dr Zaliha berkata, beliau mengambil maklum cadangan berkenaan dan tidak menolak mengenai kepentingannya sepertimana dikemukakan oleh sesetengah pihak, namun perkara itu perlu diperhalusi secara mendalam.

"Bagaimanapun kalau kita tengok sebenarnya ia (PBT) di bawah (bidang kuasa) KPKT, dan saya tidak menolak akan kepentingannya, jadi apa pun nanti saya juga akan berbincang dengan menteri KPKT (Nga Kor Ming) untuk memastikan bagaimana perkara ini dapat dilihat dan ditinjau lebih teliti,” katanya.

Dr Zaliha (tengah) tiba bagi mendengar taklimat di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. - Foto Bernama
Dr Zaliha (tengah) tiba bagi mendengar taklimat di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Sambutan Selamat Datang dan Sesi Taklimat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Menara DBKL 1 di sini hari ini.

Media sebelum ini, melaporkan Pengerusi DAP Kuala Lumpur,Tan Kok Wai menggesa kerajaan memulakan pilihan raya PBT di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi di Wilayah Persekutuan.

Kok Wai berkata, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!