Pilihan raya PBT tambah jurang antara kaum di Malaysia - Rafique

Muhammad Rafique
Muhammad Rafique
A
A
A

SHAH ALAM - Perlaksanaan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pernah dihentikan pada tahun 1965 didakwa hanya akan menambah jurang antara kaum di negara ini.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Rafique Rashid berkata, ia turut akan mengurangkan kuasa kerajaan negeri kerana kuasa mereka yang dipilih melalui undian lebih tinggi berbanding dengan kuasa mereka yang dilantik.

Menurutnya, komposisi kerusi Dewan Rakyat pada hari ini juga menunjukkan parti DAP mempunyai 40 daripada 152 kerusi yang menyokong kerajaan atau lebih kurang 26.3 peratus di mana semua kerusi yang dimenangi mereka adalah di kawasan bandar.

"Dengan jumlah kerusi yang sebesar itu, ia tidak menghairankan jika Tan Kok Wai (Ahli Parlimen Cheras) menggesa agar pilihan raya PBT diadakan semula.

"Kuasa orang Melayu akan semakin berkurang di bandar-bandar yang boleh mewujudkan kebarangkalian tinggi untuk berlakunya kurang selesa antara kaum.

"Jika pilihan raya PBT diadakan semula, ia juga akan meningkatkan kemungkinan perselisihan komuniti antara kawasan luar bandar dan bandar," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada masa sama ujar beliau, tiada sebarang jaminan bahawa sifar penyelewengan dan salah guna kuasa diperingkat PBT boleh berlaku sekiranya pilihan raya PBT dibuat.

Katanya, kerajaan yang di pilih melalui undian juga tidak bebas daripada penyelewengan dan salahguna kuasa.

Artikel Berkaitan:

"Malaysia mengamalkan konsep federalisme di mana kita mempunyai kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Kita adalah negera federalisme dan bukannya negara berkerajaan tunggal (unitary state) yang hanya mempunyai satu kerajaan sahaja yakni kerajaan Pusat, sepertimana di United Kingdom," katanya.

Tambah beliau lagi, pilihan raya PBT tidak sesuai dan tiada keperluan untuk dilaksanakan kerana sudah wujud kerajaan negeri.

"Memandangkan PBT di bawah kuasa negeri dan ahli-ahli majlis PBT dilantik oleh kerajaan negeri, pada hakikatnya rakyat sudah memilih 'ahli-ahli majlis' PBT apabila mereka membuang undi semasa pilihan raya DUN.

"Jika rakyat tidak berpuashati dengan PBT, mereka mempunyai kuasa untuk menukar kerajaan negeri dan secara tidak langsungnya, menukar 'ahli-ahli majlis PBT' dengan mengundi kerajaan negeri yang baharu," katanya.

Media melaporkan Kok Wai yang juga Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di bandar raya itu.

Katanya, pengenalan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.

Cadangan itu mengundang reaksi pelbagai pihak dan masih menjadi perdebatan sehingga kini.