Imbasan 2019: Berita global

A
A
A

26 JANUARI 2019 - Empangan runtuh di Brazil

SEKURANG-KURANGNYA 34 orang terbunuh dan ratusan hilang dalam kejadian empangan runtuh di Minas Gerais Brazil.

12 FEBRUARI 2019 - ‘El Chapo’ disabit kesalahan menyeludup narkotik

RAJA dadah Mexico, Joaqin ‘El Chapo’ Guzman disabitkan dengan pelbagai kesalahan narkotik dan keganasan di Mahkamah Brooklyn, New York termasuk menyeludup ratusan dadah jenis kokain, heroin metafetamin dan ganja ke Amerika Syarikat (AS).

15 MAC 2019 - Serangan masjid di Christchurch

SEKURANG-KURANGNYA 51 jemaah masjid terbunuh selepas seorang pengganas kulit putih, Brenton Tarrant melepaskan tembakan rambang di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand.

Serangan itu berlaku ketika jemaah di Masjid Al Noor dan Linwood sedang bersiap sedia menunaikan solat Jumaat.

Artikel Berkaitan:

11 APRIL 2019 - Pengasas WikiLeaks ditahan

PENGASAS WikiLeaks, Julian Assange akhirnya ditahan polis Britain setelah berlindung di Kedutaan Equador di London sejak 2012.

10 JUN 2019 - Penduduk HK adakan protes

LEBIH sejuta penduduk Hong Kong turun ke jalanan bagi membantah rang undangundang ekstradisi kontroversi yang membolehkan individu dari hab kewangan Asia itu dihantar ke tanah besar China untuk dibicarakan.

18 JULAI 2019 - Studio animasi di Jepun dibakar

SEBUAH studio animasi di Kyoto Jepun dibakar seorang suspek lelaki. Insiden itu mengorbankan lebih 30 nyawa.

Polis sudah mengesahkan identiti suspek sebagai Shinji Aoba tetapi enggan mengulas lanjut.

Lelaki itu bertindak demikian kerana percaya studio itu memplagiat novelnya.

10 OGOS 2019 - Jeffrey Epstein bunuh diri

JUTAWAN Amerika Syarikat (AS) Jeffrey Epstein ditemui mati di sel penjara di New York. Rakan baik kepada Presiden Donald Trump itu ditahan selepas didakwa terlibat dalam jenayah pemerdagangan seks gadis bawah umur.

14 SEPTEMBER 2019 - Serangan dua loji minyak di Arab Saudi

SERANGAN dron menyasarkan kompleks pemprosesan minyak terbesar milik Saudi Aramco di Abqaiq dan loji minyak utama di Khurais di timur Arab Saudi.

Banyak pihak menuding jari menyalahkan Iran sebagai dalang serangan itu walaupun pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab.

Ia bagaimanapun tidak menjejaskan operasi untuk tempoh yang lama walaupun Saudi Aramco pada mulanya terpaksa mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 5.7 juta tong sehari atau kira-kira 50 peratus keluaran akibat insiden itu.

24 SEPTEMBER 2019 - Protes ganas di Indonesia

TUNJUK perasaan di wilayah Papua, Indonesia bertukar ganas dan meragut hampir 30 nyawa susulan komen berbaur perkauman terhadap pelajar Papua di Surabaya.

Protes kemudian bertukar kepada hak menuntut kemerdekaan daripada Jakarta.

22 OKTOBER 2019 - Mayat pendatang Vietnam dalam kontena

POLIS Britain menemui 39 mayat warga Vietnam dalam sebuah lori kontena sejuk beku di kawasan perindustrian Essex di timur London.

Pihak berkuasa pada mulanya mengenal pasti kesemua mangsa sebagai pendatang dari China namun beberapa keluarga dari Vietnam kemudian tampil dan membuat pengesahan.

United Kingdom adalah destinasi pilihan utama untuk pendatang tanpa izin dari Vietnam.

11 NOVEMBER 2019 - Tiga wanita, enam kanak-kanak dibunuh

SEKURANG-KURANGNYA tiga wanita dan enam anak mereka, termasuk dua bayi kembar berusia enam bulan, mati ditembak sekumpulan lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan ke majlis perkahwinan.

Serangan berlaku di sempadan antara negeri Chihuahua dan Sonora yang berhampiran dengan sempadan Amerika Syarikat.

5 DISEMBER 2019 - Jokowi dinamakan Tokoh Asia 2019

AKHBAR Singapura, Straits Times, memilih Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo sebagai Tokoh Asia 2019, susulan ketangkasan dan kebijaksanaannya mengendalikan hal ehwal politik domestik dan antarabangsa.

Straits Times turut memuji pandangan jauh yang dimiliki Jokowi ketika bergelut dengan pelbagai cabaran dihadapi negaranya dan rantau itu.