AS cuba campur tangan, balas serangan loji minyak Arab Saudi

Loji minyak utama di Khurais yang menjadi sasaran serangan dron pada Sabtu lalu.
Loji minyak utama di Khurais yang menjadi sasaran serangan dron pada Sabtu lalu.
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hari ini memaklumkan negara itu bersiap siaga untuk bertindak balas terhadap serangan dron yang dilancarkan ke atas kemudahan minyak Arab Saudi.

Bagaimanapun campur tangan itu dikhuatiri akan memburukkan lagi krisis di Asia Barat selepas hubungan antara kedua-dua negara semakin dingin pada tahun lalu sejak AS menarik diri daripada Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) yang dimeterai pada 2015.

Trump menerusi Twitter berkata, Washington mempunyai alasan untuk percaya bahawa mereka tahu siapa yang bertanggungjawab ke atas serangan di Abqaiq dan Khurais pada Sabtu lalu.

"Kami sedang menunggu respon Arab Saudi tentang siapa yang mereka percaya mendalangi serangan tersebut. Di bawah syarat itu, kami akan tentukan langkah seterusnya!" katanya.

Kenyataan dikeluarkan selepas Setiausaha Negara, Mike Pompeo dengan yakin menyatakan tiada bukti menunjukkan serangan itu dilancarkan dari Yemen, sekali gus beliau menuding jari menyalahkan Iran dan turut mendakwa Teheran mendalangi hampir 100 serangan ke atas Arab Saudi.

"Di tengah-tengah gesaan banyak pihak supaya meredakan konflik di rantau terbabit, Iran bertindak melancarkan serangan tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas bekalan tenaga dunia," ujarnya.

Iran bagaimanapun menafikan tuduhan yang didakwa tidak berasas itu dan menyatakan Washington cuba beralih daripada kempen 'tekanan maksimum' yang gagal kepada 'penipuan' terhadap Teheran.

Sementara itu, pemberontak Houthi di Yemen mendedahkan sebanyak 10 dron digunakan dalam operasi terbabit yang disifatkan sebagai salah satu serangan balas terbesar pernah dilancarkan ke atas Arab Saudi.

Artikel Berkaitan:

Serangan itu didakwa turut mendapat sokongan operasi dan kerjasama dengan beberapa individu di Riyadh. Pemberontak Houthi memberi amaran kemudahan minyak di Arab Saudi akan kekal menjadi sasaran mereka selepas serangan dron ke atas dua loji minyak utama yang memberi kesan kepada separuh keluarannya selain lonjakan harga minyak mentah.

Kumpulan pemberontak itu memberitahu senjata mereka mampu mencapai mana-mana sasaran di Riyadh.

"Serangan pada Sabtu lalu menggunakan pesawat dilengkapi enjin jenis baharu," ujarnya.

Sehingga kini, Arab Saudi belum menamakan mana-mana pelaku atau negara yang dipercayai mendalangi serangan tersebut.

Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman yang menghubungi Trump memberitahu Riyadh bersedia berdepan dengan 'pencerobohan pengganas'.

Serangan ke atas kemudahan syarikat minyak, Saudi Aramco itu turut menyebabkan penutupan secara efektif enam peratus bekalan minyak global, namun ia memberi jaminan kehilangan lebih separuh daripada lima juta tong keluaran minyak itu akan kembali pulih menjelang hari ini.

Sebagai respons ke atas perkembangan itu yang dikhuatiri akan menjejaskan pasaran minyak global, Trump bertindak membenarkan bekalan AS dikeluarkan daripada Rizab Petroleum Strategik negara itu.

Kelmarin, Saudi Aramco memaklumkan mereka terpaksa mengurangkan pengeluaran minyak sebanyak 5.7 juta tong sehari atau kira-kira 50 peratus keluaran akibat serangan ke atas kompleks pemprosesan minyak terbesar di dunia di Abqaiq dan loji minyak utama di Khurais.- Agensi