Buktikan nilai integriti, kepimpinan, bebas rasuah jadi keutamaan

Jais Abdul Karim. Laporan Sinar Harian
Jais Abdul Karim. Laporan Sinar Harian
A
A
A

SHAH ALAM - Anggota Kabinet Kerajaan Perpaduan yang baharu dilantik perlu membuktikan kepada rakyat bahawa nilai integriti, karisma kepemimpinan yang bersih dan bebas rasuah menjadi keutamaan dalam melaksanakan tugas mereka di peringkat pentadbiran.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia berikutan kesedaran berhubung rasuah di kementerian masing-masing masih lagi pada tahap serius dan ia perlu ditangani dengan segera.

“Nilai integriti, ketelusan, kemahuan melawan rasuah serta salah guna kuasa mesti dizahirkan menerusi pelantikan pegawai anggota Kabinet yang mempunyai rekod bersih.

“Kepercayaan rakyat terutamanya golongan usahawan yang sering berurusan dengan pegawai kerajaan mesti ditingkatkan dengan inisiatif antirasuah yang lebih jelas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada Selasa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan masing-masing lima menteri dan timbalan menteri, termasuk empat muka baharu dan penampilan semula lima bekas menteri dalam rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Rombakan itu menyaksikan jumlah Ahli Jemaah Menteri meningkat daripada 28 kepada 31, manakala Timbalan Menteri meningkat daripada 27 kepada 29 sekali gus jumlah keseluruhan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kini adalah 60 orang.

Dalam pada itu, ujar Jais, pihaknya menggesa supaya kerajaan melakukan reformasi lebih agresif untuk bebaskan negara daripada cengkaman salah guna kuasa dan penyelewengan wang rakyat.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membuktikan komitmen untuk tidak berkompromi dengan kabinet beliau yang terpalit dengan isu rasuah.

Artikel Berkaitan:

“Berkhidmat lah dengan penuh amanah demi kestabilan politik, kemakmuran rakyat dan bekerja keras untuk memulihkan ekonomi negara yang terkesan akibat senario sosial dan ekonomi dunia yang semakin meruncing,” menurutnya.