Menteri kekal dalam Kabinet ada nilai tambah - Rafizi

Rafizi
Rafizi
A
A
A

IPOH - Menteri yang dikekal portfolionya dalam barisan Kabinet baharu seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa memberi nilai tambah kepada Kerajaan Perpaduan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, tugas menjadi menteri mahupun menteri besar merupakan satu amanah yang perlu digalas selain memberi perkhidmatan demi kehendak negara.

"Kita menjadi menteri di peringkat Persekutuan atau menteri besar, kita berkhidmat untuk negara dan ia adalah satu amanah, keistimewaan dan juga satu beban sebenarnya.

"Tugas menteri macam saya ialah kita tumpu kerja sebaik-baiknya kalau dikekalkan macam sekarang. Maksudnya Alhamdulillah perancangan yang kami buat itu dirasakan ada nilai tambah kepada pentadbiran kerajaan dan kita akan teruskan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan projek Inisiatif Pendapatan Rakyat- Inisiatif Usahawan Tani Wilayah Ekonomi Koridor Utara (IPR Intan@NCER) di Hospital Bahagia Ulu Kinta di sini pada Selasa.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Mohamad Haris Kader Sultan.

Tambah Rafizi, beliau mengambil pendekatan positif sekiranya ditukarkan ke portfolio lain.

"Contohnya saya diminta untuk buat tugasan lain maksudnya saya selalunya akan memilih untuk memandang yang positif. Saya dilihat ada nilai tambah di tempat lain.

Artikel Berkaitan:

"Kalau semua ahli politik yang dilantik ini pada pandangan saya, perlu mempunyai sikap itu (positif) kerana kita berkhidmat demi kebaikan dan kesenangan negara dan kita pulangkan keputusan itu kepada mereka yang diberi amanah untuk buat keputusan itu," katanya.

Sinar Harian melaporkan rombakan Kabinet menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan iaitu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selain Ramkarpal Singh dan Datuk Siti Aminah Aching.

Secara keseluruhan, jumlah Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 ke 31 orang manakala, jumlah timbalan menteri pula meningkat dari 27 ke 29 orang.