Covid-19: Melaka belum wajibkan pelajar pakai pelitup muka

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Jabatan Pendidikan Negeri Melaka belum mengeluarkan sebarang arahan mewajibkan pelajar sekolah menggunakan pelitup muka susulan peningkatan kes Covid-19 di negeri ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, bagaimanapun pelajar digalakkan memakai pelitup muka dalam kawasan sekolah terutama murid yang bergejala.

"Bagi perkara ini belum ada lagi arahan perlu wajib pakai pelitup muka, cuma pelajar digalakkan memakainya," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, murid yang bergejala turut dikehendaki menjalani ujian kendiri.

"Meskipun keputusan menunjukkan negatif, namun mereka digalakkan memakai pelitup muka," katanya lagi.

Baru-baru ini media melaporkan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka, Ngwe Hee Sem berkata, kes Covid-19 di Melaka pada minggu Epidemiologi 48 yang berakhir pada 2 Disember lalu menunjukkan peningkatan kepada 534 kes baharu berbanding minggu sebelumnya.

Menurutnya, jumlah itu menjadikan keseluruhan kes positif Covid-19 yang direkodkan sebanyak 152,975 kes manakala kes sembuh sebanyak 151,299 kes.

Menurutnya, 458 kes aktif sedang menerima rawatan malah terdapat satu kluster aktif dilaporkan iaitu Kluster Paya Rumput Jaya pada minggu lalu yang merupakan kluster pendidikan yang akan tamat pada 25 Disember ini.

Artikel Berkaitan: