[VIDEO] Doktor didakwa palsukan sijil vaksinasi Covid-19

A
A
A

MARANG - Seorang doktor sebuah klinik swasta dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas dakwaan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 pelanggannya dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Muhamad Reze Rashid, 52, mengaku tidak bersalah selepas 10 pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.

Muhamad Reze (dua dari kanan) berdepan 10 pertuduhan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 pada Disember 2021.
Muhamad Reze (dua dari kanan) berdepan 10 pertuduhan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 pada Disember 2021.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai pengamal perubatan didakwa dengan sengaja dan dengan niat membuat catatan palsu tentang status penerimaan vaksinasi dalam sistem myprivate vaksin yang mana adalah milik syarikat Pharmaniaga Berhad.

Tertuduh yang juga pemilik klinik didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, tertuduh juga berdepan dakwaan membuat dokumen palsu dengan secara fraud menyempurnakan satu dokumen iaitu kad peringatan vaksinasi dengan mengisi butiran di ruangan dos 1, dengan niat menyebabkan dokumen tersebut dipercayai telah disempurnakan oleh tertuduh sebagai pengamal perubatan.

Muhamad Reze (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas dakwaan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 pelanggan dua tahun lalu.
Muhamad Reze (kiri) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas dakwaan memalsukan sijil vaksinasi Covid-19 pelanggan dua tahun lalu.

Dengan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 464 (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan antara 7 hingga 23 Disember 2021 di sebuah klinik di Ru Rendang di sini.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dijamin sebanyak RM25,000 dan menetapkan 17 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah sementara tertuduh diwakili peguam, Azahir Nasir.