KKM teruskan SOP Covid-19 kekang penularan ketika banjir

Dr Zaliha (depan; dua dari kiri) mendengar penerangan berkaitan Program Saringan Kesihatan yang dijalankan bertujuan memberikan pendedahan berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada penduduk setempat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Medoi, dekat sini, hari ini. - Foto Bernama
Dr Zaliha (depan; dua dari kiri) mendengar penerangan berkaitan Program Saringan Kesihatan yang dijalankan bertujuan memberikan pendedahan berkaitan penyakit tidak berjangkit (NCD) kepada penduduk setempat di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Medoi, dekat sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEGAMAT - Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneruskan prosedur operasi standard (SOP) di semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir bagi mengekang penularan Covid-19.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia berikutan adanya peningkatan kes ketika ini, namun jumlah tersebut terkawal dan masih belum di tahap membimbangkan.

Beliau berkata, kakitangan KKM di PPS juga telah maklum mengenai SOP sedia ada termasuk menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas penduduk terjejas banjir terutama yang mempunyai gejala.

"Dalam keadaan banjir memang kita bersedia, menyediakan kit untuk testing Covid-19. Seperti biasa, kalau ada kes begitu kita akan buat isolasi dan kita asingkan, SOP tetap sama, insya-Allah.

"Buat masa ini, peningkatan kes ketika ini hanya melibatkan kes-kes kecil dan gejala yang ringan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai SOP yang perlu dipatuhi terutama di lokasi banjir bagi mengelak penularan Covid-19.

Beliau berkata demikian selapas merasmikan Felda Medoi Agrofest 2023, Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dan Program Saringan Kesihatan di Pusat Ekonomi Digital (PEDi) Felda Medoi, di sini, hari ini

Ahli Parlimen Sekijang itu berkata, pada minggu EPID-47 terdapat pertambahan kes Covid-19 sehingga 3,626 kes berbanding 2,305 kes pada minggu sebelumnya.

Sementara itu, beliau berharap lebih banyak PEDi di seluruh negara dapat melaksanakan program saringan kesihatan bagi penyakit tidak berjangkit (NCD) khusus untuk penduduk.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan kesihatan penduduk melibatkan bacaan BMI, tekanan darah, kencing manis dan kolestrol itu penting bagi memperkasakan penjagaan kendiri dan kesedaran awal dalam kalangan komuniti setempat," katanya.

Di Parlimen Sekijang sahaja, beliau berkata seramai 321 penduduk telah mendapatkan saringan kesihatan di empat PEDi bermula 5 Disember hingga semalam. - Bernama