Kes bunuh Zayn Rayyan: Tidak perlu jadi juara sebar berita palsu

Mohamed Fadil
Mohamed Fadil
A
A
A

PETALING JAYA - Tidak perlu menjadi juara dalam menyebarkan berita palsu sebaliknya perlu lebih berhati-hati dalam menggunakan teknologi maklumat dan komunikasi kerana impaknya sangat besar.

Imam Masjid Al Muktadim Damansara Damai, Mohamed Fadil Mohamad Noor berkata, semua pihak harus memainkan peranan dalam menyemak kesahihan sesuatu berita yang dilaporkan agar ia tidak memberi kefahaman yang salah kepada masyarakat.

Tambah Mohamed Fadil, umat Islam perlu menghadapi musibah dengan sabar dan reda serta menuruti nasihat dan panduan dikeluarkan pihak berkuasa.

"Biar polis buat siasatan kita jangan buat spekulasi dan apa sahaja komen yang menimbulkan keresahan dan perlu menjaga sensitiviti pihak keluarga mangsa (Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin).

"Ada yang seolah-olah mahu menjadi juara dialah yang mahu membuat cerita (namun) tidak betul, sebab itu apabila kita menerima berita pastikan berita itu sahih dan jangan buat sebarang spekulasi," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Polis giat jalankan siasatan termasuk dengan menggunakan anjing pengesan
Polis giat jalankan siasatan termasuk dengan menggunakan anjing pengesan

Dalam pada itu, Mohamed Fadil turut menggesa ibu bapa dan penjaga memberi penekanan terhadap aspek pengawasan anak-anak bagi mengelak insiden sama menimpa Zayn Rayyan berulang.

"Dalam masa sekarang ini ibu bapa kena kawal anak-anak pastikan anak keluar dengan siapa walaupun sudah dewasa. Ibu bapa kena perhatikan anak-anak terutama anak kecil dan jangan terlepas dalam jagaan kita," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, pihak Masjid Al Muktadim Damansara Damai turut mengadakan solat hajat bagi memudahkan urusan pencarian Zayn Rayyan dan majlis bacaan Yasin dianjurkan pelajar kelas talaqi Muslimat di masjid berkenaan.

Majlis bacaan Yasin dianjurkan pelajar kelas talaqi Muslimat di Masjid Al Muktadim Damansara Damai.
Majlis bacaan Yasin dianjurkan pelajar kelas talaqi Muslimat di Masjid Al Muktadim Damansara Damai.

Kehilangan Zayn Rayyan pada Selasa lalu terungkai apabila mangsa ditemui meninggal dunia di anak sungai kira-kira 200 meter dari Apartmen Idaman, Damansara Damai pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abd Hamid dilaporkan berkata, kematian kanak-kanak austisme itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh mangsa yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

Beliau pada Sabtu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berkongsi atau menyebar sebarang maklumat palsu berkaitan kematian kanak-kanak tersebut dan pihaknya tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang dikesan berbuat demikian.