Terengganu tidak dianaktiri, peruntukan pembangunan terus meningkat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Meskipun ditadbir oleh kerajaan negeri dari blok pembangkang, Terengganu ternyata sama sekali tidak pernah dianaktirikan oleh Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Pembangunan Negeri di Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Terengganu, Abdul Kahar Abdul Latif berkata, Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan pelaksanaan projek pembangunan agak tinggi untuk Terengganu, yang ditadbir Pas.

"Jika dilihat kepada unjuran peruntukan pembangunan bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) mengikut tahun bermula dari Rolling Plan Pertama (RP1) bagi tahun 2021 sehingga sekarang, jumlah peruntukan untuk Terengganu terus meningkat.

"Pada RP1 RMK12, sebanyak RM725.96 juta telah diluluskan dengan jumlah projek sebanyak 225. Pada tahun 2022 iaitu RP2 RMK12, sebanyak RM1.37 bilion telah diluluskan bagi 365 projek, manakala RP3 sebanyak RM1.39 bilion pula diluluskan melibatkan 407 buah projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu Bersama Media 2023, di sini.

Abdul Kahar berkata, sebanyak RM1.19 bilion dibelanjakan setakat ini daripada keseluruhan RM1.39 bilion yang diterima, sekali gus meletakkan prestasi perbelanjaan Terengganu di kedudukan keempat tertinggi di Malaysia.

Memperincikan lebih lanjut, Abdul Kahar berkata, daripada 407 buah projek RP3 RMK12, beberapa projek berimpak besar kini sedang dilaksanakan, antaranya pembinaan Hospital Kemaman dan Hospital Dungun yang masing-masing menelan kos RM405.41 juta dan RM145.83 juta.

"Antara lain, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerus yang bernilai RM5 juta, Projek Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Kawasan Tadahan Kuala Terengganu Selatan (RM418.15 juta), dan Projek Pengawalan Hakisan Pantai di Pantai Kuala Nerus (RM69.92 juta),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abdul Kahar berkata, beberapa projek keutamaan negeri juga telah berjaya disiapkan pada tahun ini, antaranya Projek Pemuliharaan Muara Sungai Paka yang menelan kos RM150 juta, Projek Perumahan Rakyat Kuala Nerus (RM94.24 juta), serta meninggikan aras Jalan Chukai ke Air Putih di Kemaman (RM57.59 juta).

"Kami juga telah melaksanakan 615 projek kecil meliputi penyelenggaraan jalan, longkang, dewan orang ramai, masjid, surau, pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir, serta pelbagai ameniti sosial berjumlah RM39.76 juta.

"Ini termasuk masjid yang masih dalam pembinaan iaitu Pembinaan Pusat Islam Bandar Ketengah Jaya bernilai RM11.19 juta, Masjid Kampung Langgar di Kuala Berang (RM5.3 juta), dan Masjid Kuala Kubang di Jabi, Besut (RM2.87 juta),” katanya.

Justeru, beliau berkata, meskipun pentadbiran kerajaan negeri Terengganu tidak sehaluan secara politik dengan kerajaan pusat, namun hubungan baik yang terjalin antara Terengganu dan Putrajaya akan terus memungkinkan pembangunan di negeri ini untuk manfaat setiap rakyatnya.


ICU rancang pelbagai program basmi miskin tegar Terengganu tahun hadapan

Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu di bawah ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM), telah melaksanakan dan merancang beberapa program untuk tahun hadapan, sebagai langkah membasmi kemiskinan di negeri itu.

Abdul Kahar berkata, ini termasuk memperuntukkan sebanyak RM22 juta bagi program Bina Baru dan Baik Pulih Rumah, supaya kumpulan sasar itu berpeluang memiliki kediaman yang selamat dan selesa.

"Selain dari melaksanakan program pembangunan fizikal, kami turut menyelaras pelaksanaan program kesejahteraan rakyat bagi usaha menoktahkan kemiskinan di Terengganu.

"Statistik terkini menunjukkan sebanyak 6,506, ketua isi rumah (KIR) miskin tegar dan 24,740 KIR miskin telah didaftarkan dalam sistem eKasih,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu Bersama Media 2023, di sini.

Abdul Kahar berkata, dalam memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik dalam kalangan kumpulan sasaran, pihaknya juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya Program Usaha Kasih (UKasih), Program Peningkatan Pendapatan dan Program Kasih Prihatin dengan kerjasama rakan strategik.

"Kerjasama antaranya dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) ini, dapat meluaskan liputan perlindungan sosial kepada KIR yang berdaftar dengan eKasih,” katanya.

Anwar sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan beriltizam menjadikan tahun 2023 sebagai noktah kepada permasalahan miskin tegar di negara ini, melalui beberapa pendekatan baharu untuk mengatasi kelemahan inisiatif lepas seterusnya meningkatkan keupayaan isi rumah miskin tegar dalam menjana pendapatan.

Hasrat kerajaan itu ternyata menampakkan hasil apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada persidangan di Dewan Rakyat, November lepas memaklumkan kadar isi rumah miskin tegar berkurang daripada anggaran 1 peratus isi rumah pada 2020, kepada 0.2 peratus atau 18,445 isi rumah pada masa ini berdasarkan data Survei Pendapatan Isi Rumah yang dilaksanakan pada 2022.

Rafizi berkata, data eKasih oleh ICU JPM sehingga 31 Okt lepas juga, turut memperlihatkan pengurangan jumlah KIR miskin tegar kepada 102,888 berbanding 126,556 pada Januari 2023, menurun sebanyak 38.8 peratus dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini.

Sementara itu, Abdul Kahar turut memaklumkan pihaknya telah menyelesaikan agihan Wang Ihsan untuk 39,145 mangsa banjir bagi tahun lepas dan tahun ini, membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM137 juta.

Tambahnya lagi, dengan kerjasama Pejabat Daerah, Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu juga telah melaksanakan dan menyiapkan penyelenggaraan 215 tandas sekolah, di bawah peruntukan Kementerian Pendidikan Malaysia bernilai RM15.05 juta. - Bernama