'Geng UIA' kuasai Menteri, Timbalan Menteri Kerajaan Perpaduan

Rata-rata Menteri dan Timbalan Menteri, Kerajaan Perpaduan merupakan bekas pelajar atau alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang mengambil jurusan undang-undang. - Gambar hiasan
Rata-rata Menteri dan Timbalan Menteri, Kerajaan Perpaduan merupakan bekas pelajar atau alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang mengambil jurusan undang-undang. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyaksikan bekas pelajar atau alumni Universiti Islam Antarabangsa (UIA) 'kuasai' barisan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Lepasan universiti tersohor itu yang kini memimpin kementerian ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Sementara itu, Timbalan Menteri lepasan universiti sama pula, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan serta Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh.

Menerusi rombakan terbaharu itu menyaksikan Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal dan Mohd Na'im antara alumni UIA yang kekal memegang portfolio sama seperti sebelum ini.

Zamry sebelum ini menerajui Kementerian Luar Negeri, manakala Amrizan sebelum ini dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri(Hal Ehwal Sabah,Sarawak dan Tugas-Tugas Khas).

Berdasarkan semakan Sinar Harian menerusi beberapa sumber rujukan di internet mendapati rata-rata Menteri dan Timbalan Menteri berkenaan mengambil jurusan undang-undang.

Kabinet baharu Kerajaan Madani yang diumumkan pada Selasa menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan daripada senarai.

Ia membabitkan V Sivakumar yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Sumber Manusia sejak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Siti Aminah Aching turut menerima nasib sama.

Posisi Ramkarpal diganti oleh M Kulasegaran manakala Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin mengambil alih tempat Siti Aminah.

Anwar menerusi satu sidang akhbar khas yang disiar menerusi pelbagai saluran televisyen tempatan mengumumkan 31 menteri berbanding 28 sebelum ini.

Desas-desus mengenai rombakan Kabinet mula menjadi tumpuan susulan kematian Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang sebelum ini menerajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.