PPS hanya untuk mangsa banjir - MB Kelantan

Mohd Nassuruddin ketika meninjau kanak-kanak melakukan aktiviti di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang baru-baru ini.
Mohd Nassuruddin ketika meninjau kanak-kanak melakukan aktiviti di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang baru-baru ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menegaskan pusat pemindahan sementara (PPS) hanya untuk mangsa banjir dan berharap tidak berlaku penipuan penerimaan bantuan bencana itu di negeri ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, setakat ini, isu melibatkan penipuan tersebut masih di peringkat dakwaan dan perlu ditampilkan bukti untuk penyiasatan.

Menurut beliau, setiap permohonan mangsa yang berdaftar masuk ke PPS dikawal selia oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Dakwaan ini perlu ada bukti, misal kata individu itu tidak terlibat banjir tetapi, dia daftar, kena buktikan.

“Kalau dia bukan mangsa banjir, tak betullah maka boleh diambil tindakan kerana PPS hanya untuk mangsa banjir sahaja, itu jelas,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sanjungan Budi Sentuhan Abadi Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) pada Ahad.

Keadaan banjir yang berlaku di Rantau Panjang.
Keadaan banjir yang berlaku di Rantau Panjang.

Turut hadir, bekas Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK, Datuk Ahmad Yakob.

Mohd Nassuruddin yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PKINK berkata, PKOB mengawasi setiap individu yang mendaftar ke PPS dan menentukan seseorang itu mangsa banjir atau tidak.

Artikel Berkaitan:

“Kami harap orang berdaftar itu memang mangsa banjir dan perkara ini dalam pengetahuan penggawa serta penghulu.

“Kami juga harap penipuan ini tidak berlaku,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata, kerajaan negeri bersiap sedia menghadapi banjir gelombang kedua atau ketiga, jika berlaku.

Sebelumnya, sebilangan penduduk di negeri ini didakwa menipu semata-mata untuk mendapatkan bantuan banjir RM3,500 setiap keluarga sedangkan rumah mereka tidak terkesan bencana.

Dalam pada itu, banjir di Kelantan semakin pulih dengan jumlah mangsa masih tinggal di PPS To’Deh hanya 27 pada Ahad berbanding lebih 6,000 sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!