Raja Rozela antara dilantik pesuruhjaya kehakiman

Raja Rozela
Raja Rozela
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Pengarah Unit Litigasi Khas, Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Raja Rozela Raja Toran mendahului senarai sembilan pegawai undang-undang dalam pelantikan sebagai pesuruhjaya kehakiman.

Pelantikan itu berkuat kuasa pada Jumaat, selepas beliau yang juga bekas ketua pendakwaan bagi kes jenayah membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menerima wartikah semasa Majlis Penyampaian Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan, di Istana Kehakiman di sini.

Raja Rozela, 58, menerima surat itu daripada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah.

Selain kes berprofil tinggi itu, Raja Rozela turut mengendalikan beberapa kes lain antaranya kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan.

Selain pernah menjawat Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II AGC, wanita ini turut memegang beberapa jawatan lain antaranya timbalan pendakwa raya, penolong pengarah Biro Bantuan Guaman dan peguam persekutuan.

Sebelum ini, media melaporkan, Raja Rozela memohon bersara awal mulai 1 November lalu.

Susulan itu, Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun memberitahu, keputusan untuk menggantikan Raja Rozela sebagai Ketua Pasukan Pendakwaan berkenaan kes melibatkan Ahmad Zahid, dilakukan setelah mengambil kira pelbagai faktor.

Menurutnya, Raja Rozela telah mengemukakan permohonan untuk bersara awal iaitu pada 3 April lalu dan berkuat kuasa, 1 November.

Artikel Berkaitan:

Turut tersenarai dalam jawatan itu ialah bekas peguam, Arziah Mohamed Apandi, 48, yang juga anak bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Selain Arziah, bekas peguam lain tersebut ialah Datuk Hazizah Kassim, 51, Kan Weng Hin, 61, Mohd Rosli Yusoff, 51, Gan Techiong, 58, Suriyati Hasimah Mohd Hashim, 58 dan Saiful Azian Mokhtar, 51.

Seorang lagi yang tersenarai, Maslinda @ Linda Mohd Ainal, 49 iaitu merupakan Ketua Unit Penswastaan dan Pengurusan Kontrak, Bahagian Penasihat, AGC.

Majlis berkenaan turut dihadiri bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif dan Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Pada 4 September lalu, Ahmad Zahid dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, 70 yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!