Dua ahli Parlimen Bersatu bakal berdepan tindakan undang-undang

Razali (dua dari kanan) mengiringi Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) PRK Kemaman di Padang Astaka, Chukai malam tadi.
Razali (dua dari kanan) mengiringi Muhammad Sanusi (tiga dari kiri) menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya Perikatan Nasional (PN) PRK Kemaman di Padang Astaka, Chukai malam tadi.
A
A
A

KEMAMAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap dua ahli Parlimennya berikutan keputusan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilihat bercanggah dengan pendirian parti.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya sedang meneliti dan mengumpul bukti bagi membolehkan tindakan perundangan diambil terhadap Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik dan Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

"Kita sedang meneliti berhubung tindakan yang bakal diambil kepada mereka berdua kerana mereka menerima watikah (untuk bertanding dalam pilihan raya lalu) daripada Pas.

"Kita juga akan mengheret mereka dalam lain-lain perkara yang melanggar undang-undang serta akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis kerana mereka secara jelas menyatakan sokongan kepada PM untuk mendapatkan habuan kewangan.

"Dalam kes ini juga wujudnya unsur-unsur sogokan yang menjanjikan habuan kewangan dan kita sifatkan ia sebagai satu bentuk rasuah yang dilakukan secara terang-terangan," katanya.

Razali berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman di sini, malam Jumaat.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; Timbalan Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Tan Sri Datuk Annuar Musa; Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Husain Awang dan Yang Dipertua Pas Kemaman, Che Alias Hamid.

Menurut Razali, dua lagi Ahli Parlimen Bersatu iaitu Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) telah digantung keahlian termasuk jawatan yang disandang di dalam parti itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Razali berkata, tindakan empat ahli parlimen berkenaan yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan oleh pengundi serta tidak memikirkan kerja keras yang telah dilakukan oleh jentera parti.

"Keputusan itu dilihat sebagai sesuatu yang agak 'gila' ibarat beri sokongan kepada Israel tapi kita setia kepada Palestin. Gila tak gila tu? Ini satu yang saya boleh katakan sebagai tali barut.

"Mereka yang beri sokongan yang bercanggah dengan parti ini sepatutnya mereka ini letak jawatan, kosongkan kerusi dan kita adakan pilihan raya.

"Kalau nak tunjuk hebat dia berhenti, letak jawatan dan bertanding balik atas tiket yang dia sokong tu," katanya.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa pimpinan Perikatan Nasional (PN) tidak serius dalam isu rundingan berkenaan peruntukan terhadap ahli Parlimen, beliau berkata, PN menghentikan rundingan itu kerana mereka enggan menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

"Nak dapat duit peruntukan tu kita kena sokong PMX (Perdana Menteri), ini waima apa sahaja rang undang-undang, permintaan keputusan dibuat di Parlimen nak kena sokong. Tetapi kalau dia buat perkara yang bercanggah dengan prinsip parti, perjuangan dan undang-undang kita mana boleh sokong.

"Sebab tu kita hentikan rundingan tersebut dan kita kira tak ada peruntukan pun tak apa lah," ujarnya.

Rabu lalu, Mohd Azizi dan Zahari mengisytiharkan menyokong kepimpinan Anwar namun tetap akan taat, setia serta kekal sebagai ahli Bersatu.

Tindakan itu dilakukan selepas Iskandar Dzulkarnain menyatakan perkara sama pada 12 Oktober disusuli Suhaili, dua minggu kemudian.