Kes cabar enakmen syariah: 'Saya bukan lagi menteri undang-undang' - Takiyuddin

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menunjukkan bukti dokumen berkaitan penjelasan beliau berhubung kes Nik Elin yang memfailkan petisyen mencabar enakmen syariah.
Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menunjukkan bukti dokumen berkaitan penjelasan beliau berhubung kes Nik Elin yang memfailkan petisyen mencabar enakmen syariah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman bagi mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 difailkan ketika negara tidak mempunyai kerajaan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menjelaskan, beliau juga bukan lagi menteri undang-undang pada masa itu.

"Kes Nik Elin difailkan pada 25 Mei 2022, saya dah tak jadi menteri undang-undang pada masa itu. Kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan telah diberikan oleh hakim (Datuk) Vernon Ong (Lam Kiat) pada 30 September 2022, difailkan oleh Nik pada 7 Oktober 2022.

"Manakala, petisyen yang dimasukkan untuk memohon deklarasi daripada mahkamah telah dimasukkan pada 13 Oktober 2022, yang mana pada masa itu Parlimen ke-14 telah dibubarkan, tiada kerajaan... itu saya perbetulkan fakta," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebelum mengutarakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT).

Sebelum itu, Mohd Azizi Abu Naim (PN-Gua Musang) minta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendirian Kerajaan Persekutuan terhadap Notis Petisyen yang difailkan oleh Nik Elin Zurina dan anaknya yang dilihat sebagai usaha mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 serta apakah usaha yang dibuat oleh Kerajaan bagi memastikan undang-undang berkaitan syariah terus terpelihara.

Anwar dalam jawapan awal menyifatkan kes tersebut kini seolah-oleh dibebankan kepada Kerajaan Perpaduan, sedangkan ia telah berlaku sejak 2021.

Beliau turut mempersoalkan kegagalan menteri berkaitan menjalankan tanggungjawab mengambil tindakan pada masa itu.

Artikel Berkaitan: