Didera atau dibunuh?

Akaun Instragram alburujpress mendakwa IDF menahan 100 orang lelaki dan membunuh merek. - Agensi
Akaun Instragram alburujpress mendakwa IDF menahan 100 orang lelaki dan membunuh merek. - Agensi
A
A
A

BAITULMAQDIS - Gambar tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki Palestin yang separuh bogel dan duduk di kawasan lapang dan dikawal tentera Israel mencetuskan tanda tanya sama ada mereka sebenarnya didera atau dibunuh rejim tersebut.

Badan Pemantau Euro-Med menerima laporan bahawa tentera Israel menahan dan mendera puluhan orang awam Palestin di utara Genting Gaza di dua pusat perlindungan di bandar Beit Lahia selama beberapa hari sebelum dipukul dan ditanggalkan pakaian.

Laporan diterima Euro-Med Monitor mendedahkan tentera Israel menahan secara rawak penduduk yang dipindahkan di sekolah Khalifa Bin Zayed dan New Aleppo termasuk doktor, ahli akademik, wartawan dan lelaki warga emas.

Pada masa sama, gambar yang kini tersebar secara meluas di media sosial dengan semakan awal AFP Factcheck terhadap sekumpulan lelaki ditutup mata dilihat duduk dengan tangan terikat di belakang ketika tentera Israel memerhati mereka di lokasi yang tidak didedahkan.

Jurucakap tentera Israel Daniel Hagari, ketika ditanya mengenai gambar itu berkata, bahawa 'pengganas telah menyerah diri'

"Mereka bersembunyi di bawah tanah dan kami bertempur dengan mereka...Kami menyiasat dan memeriksa siapa yang mempunyai hubungan dengan Hamas," katanya tanpa mengulas lanjut.

Sebuah saluran berita berbahasa Arab yang berpangkalan di London, Al-Araby Al-Jadeed berkata di X, bahawa antara mereka yang ditahan ialah wartawannya Diaa Al-Kahlout, serta ahli keluarganya.

Menurut laporannya dalam edisi berbahasa Inggeris, The New Arab tentera Israel telah menangkap Diaa bersama saudara maranya dan orang awam lain di jalan pasar di Beit Lahia.

Artikel Berkaitan:

"Dia antara puluhan penduduk Gaza yang ditangkap tentera Israel di Gaza dan dipaksa menanggalkan pakaian mereka dan diperiksa serta dimalukan sebelum mereka dibawa ke lokasi yang tidak diketahui, menurut laporan saksi mata," katanya.

Al-Araby mengutuk sekeras-kerasnya penahanan itu dalam satu kenyataan dan menyeru kumpulan hak asasi manusia tampil membantu dalam memastikan pembebasan wartawannya.

Dalam pada itu, sebuah akaun Instagram alburujpress mendakwa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) menahan 100 orang lelaki yang berlindung di sebuah sekolah dan membunuh mereka di hadapan isteri dan anak mereka seorang demi seorang.

Walaupun tidak dipastikan kesahihan maklumat dalam akaun tersebut sama ada mereka didera atau dibunuh, ramai warganet mengecam tindakan rejim zionis yang melampaui batas kemanusiaan. - Agensi