'Boikot jangan sampai anak tempatan hilang kerja' - MTPN Johor

Dr Zam (tengah) sambil diperhatikan Dr Kevy KV Yeo (tiga dari kanan) dan Noorman (dua dari kanan) merasmikan program Memory and Mind Competition 2023 di AEON Mall Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada Jumaat
Dr Zam (tengah) sambil diperhatikan Dr Kevy KV Yeo (tiga dari kanan) dan Noorman (dua dari kanan) merasmikan program Memory and Mind Competition 2023 di AEON Mall Bandar Dato Onn, Johor Bahru pada Jumaat
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tindakan memboikot produk Israel dan syarikat-syarikat yang secara jelas menyatakan sokongan terhadap rejim Zionis itu boleh diteruskan tetapi perlu dilakukan secara bersasar bagi memastikan tiada kesan negatif terhadap ekonomi negara.

Yang Dipertua Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) Johor, Noorman Kamsani berkata, langkah itu tidak boleh dilakukan sebarangan tetapi perlu memastikan jenama atau syarikat yang diboikot itu benar-benar menyumbang dana kepada Israel.

Jelasnya, ini bagi memastikan tiada kesan negatif susulan daripada tindakan atau kempen tersebut termasuk menjejaskan pendapatan dan pekerjaan.

"Sebagai seorang Muslim, saya menyokong pendirian kerajaan memperjuangkan nasib rakyat Palestin ketika ini.

"Itu tidak bermaksud kita perlu memboikot produk Israel sehingga mendatangkan kesan negatif kepada ekonomi negara.

"Antara kesan negatif akan berlaku jumlah pengangguran di Malaysia tanpa kita sedar contohnya mereka yang bekerja dalam industri francais.

"Kebanyakan mereka adalah anak tempatan yang perlu meneruskan kehidupan dan mempunyai tanggungan. Jika boikot berterusan, mereka berisiko kehilangan pekerjaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Memory and Mind Competition 2023 di AEON Mall Bandar Dato Onn di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir Presiden MTPN, Prof Datuk Dr Kevy KV Yeo; Presiden Majlis Pemerkasaan Pendidikan Negara, DrZam@Abd Razak Zamri; Presiden Yayasan Masyarakat Lestari Malaysia, Danny Teh Thiam Fatt dan Presiden International Brain Development Certified Institute, Rachel Cheah.