Penjara Israel seperti 'tanah perkuburan'

Bekas tahanan Palestin mendedahkan layanan buruk diterima mereka selepas dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran banduan ketika jeda kemanusiaan pada bulan lalu.
Bekas tahanan Palestin mendedahkan layanan buruk diterima mereka selepas dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran banduan ketika jeda kemanusiaan pada bulan lalu.
A
A
A

RAMALLAH - Bekas tahanan Palestin mendedahkan layanan buruk diterima mereka selepas dibebaskan di bawah perjanjian pertukaran banduan ketika jeda kemanusiaan pada bulan lalu.

Pengakuan itu dibuat ketika rejim Zionis melancarkan 'perang propaganda' memburukkan dan memfitnah keadaan teruk dihadapi kumpulan tawanan Hamas.

Aktivis, Rouba Assi, 23, memberitahu, pihak berkuasa penjara Israel 'merampas' segala barangan milik mereka sejurus dihantar ke pusat tahanan tersebut.

Rouba Assi yang diarak setelah dibebaskan turut berkongsi cerita bagaimana tahanan Palestin berdepan sekatan lebih ketat di penjara Israel.
Rouba Assi yang diarak setelah dibebaskan turut berkongsi cerita bagaimana tahanan Palestin berdepan sekatan lebih ketat di penjara Israel.

"Kami diletakkan di bawah 'keadaan darurat' sejak 7 Oktober lalu yang menyekat pergerakan kami sepenuhnya.

"Tahanan tidak dibenarkan keluar dari sel mereka dan tiada lagi lawatan keluarga.

"Pihak berkuasa Israel juga tidak membenarkan kami membeli makanan di kantin selain melakukan pemeriksaan mengejut lebih kerap," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rouba turut berkongsi kisah perbezaan menjadi penghuni penjara sebelum dan selepas peperangan ganas di Gaza tercetus.

Antara 2020 dan 2022, wanita itu dihukum penjara selama 21 bulan kerana melemparkan batu dan menjadi anggota Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) yang dianggap sebagai pertubuhan haram oleh rejim Tel Aviv.

Dia kemudiannya ditahan semula ketika fasa awal Perang Gaza bersama kira-kira 3,580 penduduk Palestin yang lain.

"Keadaan di penjara Damon di timur laut Tel Aviv pada kali ini agak berbeza.

"Saya ditempatkan bersama tujuh rakan senasib yang lain di sel yang pada asalnya direka untuk dihuni tiga tahanan tanpa tilam atau sebarang alas.

"Kami terpaksa tidur dalam kelaparan kerana makanan yang diberikan tidak mencukupi.

"Rejim Zionis seolah-olah menghukum kami dengan cara mendera mental," jelasnya.

Pada awal bulan lalu, Pengarah Serantau Amnesty International, Heba Morayef juga mengesahkan testimoni dan bukti rakaman video menunjukkan layanan tidak berperikemanusiaan pihak berkuasa penjara Israel termasuk memukul dan menghamburkan kata-kata kesat terhadap tahanan Palestin.

DIPUKUL SIANG DAN MALAM

Aktivis Palestin, Ramzi Abbasi dari Baitulmaqdis Timur yang dibebaskan dari penjara Ketziot atas kesalahan menghasut keganasan pada April lalu juga berkongsi cerita sama.

Ramzi Abbasi mendedahkan keadaan teruk yang dihadapinya sepanjang menjadi penghuni penjara Israel.
Ramzi Abbasi mendedahkan keadaan teruk yang dihadapinya sepanjang menjadi penghuni penjara Israel.

"Pihak berkuasa Israel pukul kami siang dan malam.

"Ada tahanan yang patah kaki atau tangan mereka selepas perang Gaza tercetus dan mereka tidak diberikan rawatan sepatutnya.

"Penjara Israel seperti 'tanah perkuburan' buat kami.

"Tahanan Palestin dibiarkan kelaparan, tidak diberikan pakaian bersih. Mereka diabaikan tanpa belas kasihan," ujarnya.

Amnesty menjelaskan, mereka turut menerima aduan daripada seorang tahanan Palestin yang dipukul dengan teruk hingga meninggalkan kesan lebam dan tiga tulang rusuknya patah.

Tahanan yang tidak dinamakan itu mendakwa mereka dipaksa memuji Israel dan mengutuk Hamas.

Tahanan Palestin percaya mereka dijadikan sasaran untuk 'balas dendam' terhadap kebangkitan pejuang Hamas.
Tahanan Palestin percaya mereka dijadikan sasaran untuk 'balas dendam' terhadap kebangkitan pejuang Hamas.

"Walaupun tahanan Palestin akur dengan arahan itu, mereka tetap dipukul dan dimaki tanpa belas kasihan," kata pertubuhan hak asasi manusia berpusat di London itu lagi.

Menerusi surat dihantar kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), tahanan Palestin percaya mereka dijadikan sasaran untuk 'membalas dendam' terhadap kebangkitan pejuang Hamas.

Kandungan surat itu juga menyatakan seramai enam tahanan meninggal dunia di penjara Israel sejak konflik baharu di Gaza itu bermula.

Beberapa pengkritik percaya perjanjian pertukaran tahanan itu sebenarnya bertujuan untuk 'mengosongkan' penjara.

Hakikatnya, tiada beza pembebasan seramai 240 tahanan Palestin tersebut kerana jumlah yang serupa kembali dipenjarakan di Tel Aviv ketika minggu sama proses pertukaran itu dibuat. - AFP