Tuduhan menghasut, bicara Razali Idris mula April tahun depan

Razali didakwa di Mahkamah Sesyen pada 24 November lalu atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Kemaman. - Foto Bernama
Razali didakwa di Mahkamah Sesyen pada 24 November lalu atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Kemaman. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris atas dakwaan menyebut perkataan menghasut dengan menyifatkan keputusan institusi kehakiman dikawal kerajaan, di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan bermula April tahun depan.

Hakim N Priscilla Hemamalini menetapkan perbicaraan berlangsung selama lima hari, pada 22 hingga 26 April 2024.

Semasa prosiding, peguam, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, memohon mahkamah menetapkan tarikh bicara selepas pihaknya menerima dokumen berkaitan kes daripada pasukan pendakwaan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Nor Azmal mengesahkan perkara itu.

"Dokumen berkenaan telah diserahkan kepada pihak pembelaan, mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah," katanya.

Pada 24 November lalu, Sinar Harian melaporkan, Exco kerajaan Terengganu itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan menyebut perkataan menghasut sebagaimana dalam lampiran, iaitu menyentuh keputusan institusi kehakiman serta memfitnah badan kerajaan, di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, antara jam 9.30 hingga 11.30 malam, 10 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948, yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali.

Artikel Berkaitan:

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

Dalam hantaran berkenaan, Razali didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada tarikh tersebut.

Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dan 47 pertuduhan dihadapi seorang pemimpin yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).