Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris didakwa menghasut

Razali didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Kemaman. - Foto Bernama
Razali didakwa di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut dalam ucapannya di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil Kemaman. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan menghasut, dengan mengaitkan pembebasan seorang pemimpin daripada 47 kes jenayah dengan sabitan bersalah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, di Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, dua minggu lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berusia 57 tahun ini, membuat pengakuan berkenaan, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, N Priscilla Hemamalini.

"Saya mengaku tidak bersalah dan bersedia untuk dibicarakan,” katanya yang hadir dengan berbaju Melayu berwarna merah.

Mengikut pertuduhan, Exco kerajaan Terengganu itu, didakwa menyebut perkataan menghasut sebagaimana dalam lampiran, iaitu menyentuh keputusan institusi kehakiman serta memfitnah badan kerajaan, di Padang Astaka Chukai, Kemaman, Terengganu, antara jam 9.30 hingga 11:30 malam pada 10 November lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut perenggan 4(1) (b) Akta Hasutan 1948, yang boleh dihukum bawah subseksyen 4(1) akta yang sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin, beserta syarat tambahan iaitu tidak membuat sebarang hantaran atau komen berhubung kes terbabit.

Bagaimanapun, peguam, Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Senator ini merayu, agar kadar itu dikurangkan kepada RM1,000 sahaja.

“Selain memegang jawatan dalam Bersatu, anak guam juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, maka tiada risiko untuk melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Beliau perlu menjaga isteri yang mempunyai penyakit jantung, dua anak dan dua cucu, selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Priscilla kemudian membenarkan tertuduh jaminan diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan seperti dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 8 Disember depan ini untuk sebutan semula kes.

Pada 15 November lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Razali.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

Dalam hantaran berkenaan, Razali didakwa mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada tarikh tersebut.

Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan serta mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq dan 47 pertuduhan dihadapi seorang pemimpin yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).