SPRM lapor polis tuduhan palsu ahli Bersatu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu didakwa dikeluarkan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Datuk Razali Idris.

SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, laporan terbabit dibuat pada Rabu, susulan satu hantaran dalam aplikasi TikTok di atas nama pemilik akaun @wancin11 yang memaparkan kenyataan Razali itu.

"Di dalam hantaran berkenaan, Razali telah mengeluarkan beberapa tuduhan palsu dalam ceramah beliau sewaktu majlis pelancaran jentera Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 10 November lalu.

"Beliau menyatakan bahawa jentera kerajaan, SPRM dan hakim dikawal oleh kerajaan, serta mempertikaikan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi berhubung sabitan empat pertuduhan ke atas bekas Menteri Belia dan Sukan," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, SPRM memandang berat fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kerana ia boleh menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap sistem penguatkuasaan dan perundangan negara ini.

"SPRM adalah sebuah badan penguat kuasa yang diperkasakan oleh undang-undang untuk melaksanakan fungsi dan peranan membanteras rasuah dengan bebas dan profesional tanpa dikawal oleh mana-mana pihak.

"Oleh yang demikian, SPRM berharap tindakan sewajarnya dapat diambil dengan kadar segera terhadap mereka yang mengeluar dan menyebarkan fitnah dan tohmahan tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan: