PDRM sahkan panggil Razali bantu siasatan kenyataan berbaur penghinaan

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil Ketua Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan dipercayai bersifat penghinaan terhadap sistem keadilan negara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ADUN Kijal itu dipercayai mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan keputusan oleh Institusi Kehakiman dikawal oleh kerajaan.
"Beliau (Razali) dipercayai mengeluarkan kenyataan itu semasa Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PRK 040 di Kemaman, Terengganu 10 Nov lepas,” katanya dalam kenyataan malam Isnin.
Menurutnya, rakaman percakapan Razali dibuat di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah di Balai Polis Chukai, Kemaman, Terengganu pada Isnin.