Bekas penolong eksekutif didenda RM25,000 tipu majikan

Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan didenda atas kesalahan menipu dan memalsukan butiran buku akaun milik majikannya, lima tahun lalu.
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM keluar dari mahkamah selepas mengaku bersalah dan didenda atas kesalahan menipu dan memalsukan butiran buku akaun milik majikannya, lima tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bekas Penolong Eksekutif Pembangunan Peserta Felcra Berhad didenda RM25,000 selepas mengaku bersalah dalam Mahkamah Sesyen, di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan menipu dan memalsukan butiran buku akaun milik majikannya, lima tahun lalu.

Tertuduh Mohd Haire Aw Sudin, 45, yang berasal dari Temerloh berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Berdasarkan kertas pertuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rif’ah ‘Izzati Abdul Mutalif, tertuduh didakwa memalsukan akaun milik majikannya, Imperes Tabung Kebajikan Peserta Felcra Berhad kawasan Anak Endau dengan niat untuk menipu di pejabatnya di Rompin, pada Januari hingga April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

No Image Caption

Sementara itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan di bawah seksyen sama juga atas kesalahan memalsukan akaun milik majikannya dengan niat untuk menipu.

Bagaimanapun, semua tiga pertuduhan yang diakui tertuduh telah dipertimbangkan dan direkodkan mahkamah di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam tertuduh, Simranjit Kaur dalam rayuannya sebelum itu memohon satu hukuman berbentuk denda pada kadar RM25,000 mengambil kira kemampuan dan memadai dengan kesalahan dilakukan anak guamnya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, tertuduh kini menyara isteri dan tiga anak termasuk dua berstatus orang kurang upaya (OKU).

"Selain itu, mahkamah juga wajar mengambil kira kerjasama sepenuhnya yang memberikan tertuduh sepanjang siasatan selain kes itu adalah kesalahan pertamanya bagi meringankan hukuman," katanya.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil kira rayuan tertuduh dan hujah pihak pendakwaan.