Bekas ejen cukai didenda RM20,000 palsukan laporan juruaudit

Seorang bekas ejen cukai didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan laporan juruaudit dalam penyata kewangan beraudit syarikat ZGM. - Gambar hiasan
Seorang bekas ejen cukai didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan laporan juruaudit dalam penyata kewangan beraudit syarikat ZGM. - Gambar hiasan
A
A
A
KUALA LUMPUR - Seorang bekas ejen cukai didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan laporan juruaudit dalam penyata kewangan beraudit syarikat Zenith Global Marketing Sdn Bhd (ZGM).

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dalam kenyataan memaklumkan Hakim J. Jean Sharmila menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Tan Boo Khee, 50, pada 21 November lepas dan memerintahkannya dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda itu.

Tertuduh membayar denda pada hari sama.

Mengikut pertuduhan, Boo Khee sebagai orang tengah antara ZGM dengan firma juruaudit yang dilantik telah membuat satu penyataan palsu dalam Penyata Kewangan bagi Tahun Kewangan berakhir 2019 syarikat berkenaan.

Penyata itu merupakan satu dokumen yang dikehendaki di bawah Seksyen 259(1) Akta Syarikat 2016 (Akta 777), berkenaan butir material iaitu laporan juruaudit pada ruangan ‘Independent Auditors’ Report To The Members of Zenith Global Marketing Sdn Bhd’ di halaman 6 hingga 8 yang disediakan atas nama SKL & CO yang tertuduh mengetahui laporan juruaudit itu adalah palsu.



Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat SSM, Alor Setar pada 20 Oktober 2020, mengikut Seksyen 591 (2)(a) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) dan boleh dihukum di bawah akta dan seksyen sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan fakta kes, setelah menerima pertanyaan daripada SSM pada 2019, pihak ZGM menyedari bahawa penyata kewangan syarikat dan laporan juruaudit yang terkandung dalam penyata itu sebenarnya telah disediakan oleh tertuduh tanpa pengetahuan dan persetujuan pihak firma juruaudit.

Kenyataan itu memaklumkan, berdasarkan siasatan yang dijalankan oleh SSM, terdapat satu perintah injunksi dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 2018, yang melarang tertuduh daripada terus menyalahgunakan nama firma juruaudit terbabit.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SSM Nurul Husna Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Jelas SSM, sabitan itu merupakan satu peringatan kepada orang awam bahawa tindakan pendakwaan akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati memberikan penyataan, maklumat atau laporan palsu atau mengelirukan kepada agensi berkenaan.
Artikel Berkaitan:


"Kesalahan yang melibatkan penyalahgunaan identiti individu lain merupakan suatu kesalahan berat yang perlu dipandang serius,” menurut SSM.

SSM memberitahu agensi itu sentiasa konsisten dalam mengawal selia pematuhan peruntukan undang-undang yang ditadbir di samping memastikan komuniti korporat peka terhadap tanggungjawab serta etika perniagaan. - Bernama