Pengurus syarikat didenda RM45,000 tipu PERKESO

Muhammad Al-Bukhari (kiri) bersama peguamnya ketika tiba di mahkamah pada Jumaat.
Muhammad Al-Bukhari (kiri) bersama peguamnya ketika tiba di mahkamah pada Jumaat.
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pengurus syarikat didenda RM45,000 di Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 3.0 berjumlah RM22,880.

Muhammad Al-Bukhari Abdullah,38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Pengurus Syarikat Vshine Metal & Plastic Trading itu didakwa tidak jujur dan menipu PERKESO dengan mengemukakan nama individu dalam Data Program Penjana Kerjaya 3.0 bagi Program Intensif Pekerja sedangkan individu terbabit bukan pekerja syarikatnya.

Berikutan itu, PERKESO telah menyerahkan dana RM9,280 dan RM13,600 ke dalam akaun milik syarikat tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Pejabat PERKESO Pulau Pinang pada 22 November dan 5 Disember 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Peguam V Parthipan yang mewakili tertuduh menjelaskan ini merupakan kesalahan pertama anak guamnya dan menyesal serta berjanji tidak melakukan kesalahan itu lagi pada masa akan datang.

Menurutnya, tertuduh mempunyai dua orang anak hasil perkahwinannya dengan seorang wanita warga Thailand namun kini wanita itu telah kembali ke negara asal dan meninggalkan kedua-dua anak perempuan berusia tiga dan setahun kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pengakuan tertuduh di peringkat awal kes juga telah menjimatkan masa dan kos semua pihak.

"Anak guam saya juga kini berdepan masalah kewangan yang sangat teruk selain berdepan dengan saman sivil daripada sebuah bank selepas gagal membuat bayaran pembelian lori.

"Berikutan itu,saya mohon agar mahkamah hanya mengenakan hukuman denda yang paling minima sahaja kepada tertuduh," katanya

Sementara itu, pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, hukuman yang setimpal perlu dikenakan kerana ia membabitkan kepentingan awam.

"Terima kasih kepada tertuduh kerana mengaku bersalah dan memendekkan tempoh perbicaraan, namun mahkamah perlu memberikan hukuman sewajarnya sebagai 'correct message' buat orang ramai.

Hakim kemudiannya mengenakan denda RM10,000 bagi pertuduhan pertama dan RM35,000 bagi pertuduhan kedua.

Sementara itu bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula ia diputuskan sebagai 'Take Into Consideration' (TIC) oleh pihak mahkamah.