Tiada CCTV di lokasi kejadian mayat Zayn Rayyan ditemui

Nor Haizam menunjukkan rakamam CCTV milik JMB di kawasan tersebut.
Nor Haizam menunjukkan rakamam CCTV milik JMB di kawasan tersebut.
A
A
A

PETALING JAYA - Tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian mayat di kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemukan.

Wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartmen Idaman, Nor Haizam Hidir berkata, pangsapuri berkenaan hanya memasang empat CCTV di kawasan perumahan itu iaitu di laluan keluar, blok J bagi pemantauan laluan masuk, bahagian surau serta dewan.

Nor Haizam
Nor Haizam

Bagaimanapun menurutnya terdapat CCTV persendirian dipasang oleh penduduk di pangsapuri 18 blok yang mengandungi 2, 484 unit.

"CCTV rasmi tidak ada melainkan lokasi tertentu disebabkan pangsapuri kami berstatus kos rendah dan kos penyelengaraan hanya RM33.60 sebulan.

"Cuma ada penduduk yang memasang CCTV di unit mereka atas inisiatif sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Rabu, mayat Zayn ditemui dalam keadaan terbaring berdekatan anak sungai, berhampiran kawasan Apartment Idaman, Damansara Damai dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada bahagian tubuh badan mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lokasi mayat Zayn ditemui berada di luar seliaan JMB namun tidak dapat mengesahkan status tanah itu sama ada hak milik kerajaan atau persendirian.

"Segala aktiviti cucuk tanam di belakang Blok R itu adalah di bawah tanggungjawab penduduk sendiri.

"Jika ada kanak-kanak yang bermain di situ pun, mungkin hanya penduduk yang tinggal di blok R sahaja," katanya.

Ujarnya, memikirkan risiko kawasan tersebut yang tersorok, JMB sebelum ini sudah dalam perancangan untuk memagar kawasan tersebut.

"Sudah ada perancangan namun bergantung pada kewangan JMB. Belum sempat berbuat demikian, tidak sangka sudah ada kes seperti ini.

"Susulan kejadian tersebut, kami akan secepat mungkin tambah baik sistem keselamatan demi kesejahteraan dan keselesaan penduduk di sini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk ditemui berkata, kawasan belakang Blok R itu terdapat kawasan belukar yang jarang digunakan bagi laluan penduduk.

"Saya sendiri takut untuk masuk ke sana sebab keadaan lokasi seperti hutan.

"Sebelum ini ada juga kanak-kanak yang ke sana untuk memancing tapi selepas kejadian itu, tiada siapa yang berani pergi kerana takut," katanya.