Pembunuh Zayn Rayyan perlu dihukum

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SEORANG kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang ditemui meninggal dunia berdekatan anak sungai berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai, Kuala Lumpur pada Rabu perlu diberi keadilan sewajarnya.

Ia berikutan hasil bedah siasat Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati terdapat kecederaan pada bahagian tubuh badan mangsa yang dipercayai telah dibunuh.

Sememangnya benar kejadian itu sudah berlaku dan nyawa tidak dapat diganti lagi, namun perlu ada keadilan terutamanya kepada keluarga mangsa lebih-lebih lagi apabila Zayn Rayyan ditemui dalam keadaan yang menyayat hati.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang pada tengah hari Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.

Mayat Zayn Rayyan seterusnya ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari di kawasan sekitar.

Bagaimanapun, difahamkan bahawa lokasi penemuan mayat itu adalah kawasan pencarian yang sudah dilakukan Unit Anjing Pengesan (K9) pada Selasa.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, kes berkenaan telah disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, 28, masih tidak dapat menerima khabar duka mengenai pemergian anaknya itu kerana menganggap Zayn Rayyan masih berada di sisinya walaupun reda dengan ketentuan ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

Justeru itu, melihat kepada kesedihan yang menimpa keluarga mangsa, pihak polis wajar menjalankan siasatan seadilnya bagi mencari pesalah berkenaan jika benar Zayn Rayyan dibunuh.

Rakyat Malaysia juga mengharapkan agar pesalah diberi hukuman setimpal dengan perbuatan yang sudah dilakukan lebih-lebih lagi Zayn Rayyan hanyalah seorang kanak-kanak autisme yang tidak bersalah.

Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi demi menjaga emosi keluarga mangsa dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan penuh.