'Tidak sangka Zayn dibunuh, mahu pelaku diberkas' - Penduduk

Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Hanfiah, Mohd Ikhsan, Zamri)
Laporan Sinar Harian. (Gambar kecil: Mohd Hanfiah, Mohd Ikhsan, Zamri)
A
A
A

PETALING JAYA - Penduduk menyifatkan kes adik Zayn Rayyan Abdul Matiin sebagai tragedi hitam yang tidak disangka berlaku sejak taman perumahan itu mula didiami lebih 20 tahun yang lalu.

Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1, Zamri Saidin berkata, pihaknya sama sekali tidak menyangka berlaku kejadian seperti itu kerana penduduk di kawasan berkenaan amat mengenali antara satu sama lain.

“Rata-rata penduduk di sini mempunyai keakraban dengan jiran tetangga, jadi bila kisah kehilangan Zyan mula tersebar ramai yang ingin membantu untuk mencarinya.

“Saya sendiri terlibat dalam operasi pencarian dan terkejut bila polis sahkan Zyan meninggal dunia akibat dibunuh,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bilal Masjid Al-Muhtadin, Mohd Hanafiah Abdul Majid berkata, tidak menyangka usahanya untuk mengumpul kariah masjid membantu operasi mencari Zayn diakhiri dengan penemuan mayat kanak-kanak itu.

“Saya ingat arwah mati lemas, tapi bila disahkan ia merupakan kes bunuh saya jadi tergamam kerana tak sangka ada manusia yang tergamak melakukan perkara keji seperti itu.

“Saya harap orang yang bertanggungjawab dapat diberkas segera kerana jika suspek masih bebas akan menyebabkan penduduk takut kejadian yang sama berulang selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Cabang Damansara, Mohd Ikhsan Md Din akan meminta kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartmen berkenaan untuk menerangi dan memagari kawasan berisiko agar keselamatan penduduk lebih terjamin.

Artikel Berkaitan:

“Saya akan cuba bantu menerusi saluran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk melihat kepada perkara ini demi kebaikan penduduk kerana kita tidak mahu ianya berulang.

“Buat masa ini kita cuba bekerjasama dengan pihak berkuasa dan berharap penduduk tidak membuat spekulasi yang boleh mendatangkan panik,” katanya yang juga Ahli Majlis MBPJ Zon 4.

Pada Rabu, mangsa berumur enam tahun itu ditemui meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang di kawasan kediamannya di tengah hari Selasa lalu sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya pada malam Rabu.

Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.

@sinarharianonline Semoga adik Zayn Rayyan mendapat pembelaan. #fyp#beritaditiktok#kesbunuh#jenayah#zaynrayyan#kanakkanak#autisme Sad and lonely - MoppySound