Tidak sangka jadi juara RGBC 2023

Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang pada Majlis Perasmian Penutup RGBC 2023.
Datuk Seri Dr Noraini Ahmad (tiga dari kiri) bergambar bersama pemenang pada Majlis Perasmian Penutup RGBC 2023.
A
A
A

CYBERJAYA- Hanya bermula dengan oven terpakai, Mohd Rahmat Bahaudin tidak pernah menyangka dinobatkan sebagai juara RISDA Groom Big Challenge (RGBC) 2023.

Membawa pulang wang tunai RM7,000, pemilik Kafe Chef Kecik Sdn Bhd (Chef Kecik) yang terletak di Semenyih, Selangor itu berkata, beliau menyertai RGBC kerana ingin menambah pengetahuan di dalam perniagaan yang diusahakannya sejak tahun 2018 yang lalu.

"Sebaik nama diumumkan, saya rasa sebak. Tak sangka menang kerana saya sertai ini untuk mendapatkan geran. Menang adalah satu bonus buat saya," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mengimbau kembali di saat awal perniagaan, anak pekebun kecil dari Perak itu berkata, beliau berdepan dengan jerih perih bagi memastikan kafe tersebut mampu bersaing sebaris nama besar yang lain.

"Ia bermula secara kecil-kecilan di rumah dan apabila permintaan semakin meningkat, saya menyewa studio dan kemudiannya membuka kafe pada tahun lalu," ujarnya yang mengusahakan perniagaannya sejak lima tahun lalu.

Berusia 36 tahun, Mohd Rahmat memberitahu, antara pengalaman yang sukar dilupakan apabila terpaksa buat lebih satu kerja bagi menampung perbelanjaan ketika awal perniagaan.

"Saya pernah menghantar tempahan di Kuala Lumpur dan selepas selesai saya menjadi pemandu e-hailing sehingga ke malam," katanya.

"Saya hanya bermula dengan ketuhar terpakai yang dibeli pada harga RM4,000 dan kini nilai jualan tahun ini adalah RM4 juta," katanya yang ketika ini mampu membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan.

Artikel Berkaitan:

Geran RISDA

Mohd Rahmat (tengah) bersama-sama Suffian Tsouri (kiri) dan Imelda menunjukkan hadiah kejayaan yang diterima masing-masing sempena RGBC 2023 di Cyberjaya pada Khamis.
Mohd Rahmat (tengah) bersama-sama Suffian Tsouri (kiri) dan Imelda menunjukkan hadiah kejayaan yang diterima masing-masing sempena RGBC 2023 di Cyberjaya pada Khamis.



Menyentuh mengenai perancangan, Mohd Rahmat berkata, geran RM50,000 yang diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pekebun Kecil Getah (RISDA) dan menjadi peserta akhir RGBC itu akan digunakan untuk menambah peralatan di dapur berpusat (central kitchen).

"Dapur ini sudah ada cuma kami perlu tambah beberapa peralatan bagi meningkatkan mutu pengeluaran untuk menampung permintaan," katanya.

Beliau turut menyasarkan nilai jualan tahun depan mencecah RM5 juta selain membekalkan lebih 100 produk pastri ke kafe lain.

Dalam pada itu, Mohd Rahmat menasihati usahawan anak pekebun kecil berkunjung ke pejabat RISDA terdekat bagi memohon bantuan dan tunjuk ajar.

Perluas pasaran santan

Sementara itu, Suffian Tsourie Zakaria yang diumumkan tempat kedua dalam RGBC berkata, beliau merancang untuk meluaskan pasaran santan dan kerisik jenama Fiqa ke seluruh negara tahun hadapan.

Menceritakan pengalaman di dalam perniagaan itu, Suffian, 40, berkata beliau mendapat pendedahan daripada ibu dan bapa mentua.

"Bermula dengan hanya menggunakan motosikal untuk menghantar stok ke kedai runcit sekitar Kuala Kangsar, Perak, kini produk santan dan kerisik keluaran syarikat Izach Agribusiness kini merekodkan purata jualan RM50,000," katanya.

Beliau yang sebelum ini menerima bantuan pembungkusan dan pelabelan daripada RISDA berkata, produk jenama Fiqa akan mendapat pensijilan halal ke arah memperkukuhkan kedudukan di pasaran.

Peserta di peringkat akhir RGBC 2023 layak menerima geran perniagaan RISDA sehingga RM50,000 dalam bentuk peralatan, mesin, baik pulih, penyediaan tapak premis atau penyelenggaraan sistem.
Peserta di peringkat akhir RGBC 2023 layak menerima geran perniagaan RISDA sehingga RM50,000 dalam bentuk peralatan, mesin, baik pulih, penyediaan tapak premis atau penyelenggaraan sistem.

"Ini juga merupakan bantuan RISDA agar produk kami mampu bersaing dengan jenama lain," katanya.

Perniagaan beras huma

Dalam pada itu, seorang usahawan Imelda Bragie, 35, tidak menyangka hanya usahanya membantu ibu bapa telah mendorongnya membuka sebuah perniagaan serius apabila beras huma mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.

"Sebelum ini saya bekerja dan mengambil keputusan untuk berhenti bagi membantu kedua-dua ibu bapa memasarkan beras huma ini," katanya.

Beliau berkata, beras huma yang ditanam secara kecil-kecilan oleh keluarga dan penduduk sekitar akhirnya menjadi pilihan untuk dijadikan sebagai cenderamata korporat.

"Pelanggan kami terdiri daripada syarikat korporat dan kongklomerat di seluruh negara termasuk Brunei dan Singapura," katanya.

Selain itu syarikat Benak Raya Enterprise yang diusahakan Imelda turut mengeluarkan produk hiliran beras huma iaitu scrub dan sabun badan.

"Bagi memenuhi permintaan, kami telah membina kilang sendiri yang terletak di Samarahan," katanya yang turut memasarkan produk melalui platform digital.

Pada RGBC itu, Imelda membawa pulang wang tunai RM3,000.

Ketiga-tiga usahawan tersebut bersama 23 peserta akhir RGBC lain turut diberikan geran RM50,000 oleh Risda.

Geran perniagaan itu diberikan di dalam bentuk peralatan, mesin, baik pulih dan penyediaan tapak premis atau penyelenggaraan sistem.