Waspada penipuan penebusan kredit eMadani kepada wang tunai

Pendaftaran program eMadani boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan e-dompet Touch ‘n Go - Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli
Pendaftaran program eMadani boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan e-dompet Touch ‘n Go - Gambar hiasan, gambar kecil: Ramli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan tawaran perkhidmatan di media sosial terutama berkenaan penebusan kredit eMadani kepada wang tunai.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini, tiada laporan diterima berkaitan penipuan program eMadani, namun langkah berwaspada wajar diambil oleh orang awam.

"Selaras dengan pengumuman kerajaan berkaitan program eMadani yang bermula pendaftarannya semalam (Isnin), masyarakat dinasihatkan agar mengambil langkah berwaspada bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.

"Pendaftaran program eMadani boleh dilakukan melalui penyedia perkhidmatan e-dompet iaitu MAE, Setel, ShopeePay dan e-dompet Touch ‘n Go," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Ramli berkata, orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak menekan sebarang pautan daripada mana-mana iklan atau emel.

"Jangan menggunakan orang tengah sebagai pendaftar bagi akaun e-dompet dan perlu mematuhi syarat-syarat penggunaan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, MoF dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan akan mengambil tindakan tegas termasuk menyekat akaun yang terlibat dan melucutkan hak kredit penerima eMadani.

Langkah itu bakal diambil sekiranya terdapat laporan bagi mana-mana kes yang melibatkan pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai.