25 syarikat diberi Lesen Pengelola Jemaah Haji 2024

Pada tahun ini kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota Jemaah Haji Malaysia. - Gambar hiasan
Pada tahun ini kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota Jemaah Haji Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan Lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 25 syarikat pelancongan tempatan dan anak syarikatnya Tabung Haji Travel & Services Sdn Bhd (THTS) bagi musim haji 1445H/2024.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam kenyataan hari ini berkata, pelantikan 25 PJH itu adalah sebagai persediaan menghadapi musim haji 1445H.

Beliau berkata, pada tahun ini kerajaan Arab Saudi meluluskan sebanyak 31,600 kuota Jemaah Haji Malaysia yang merupakan jumlah kuota penuh sepertimana yang diluluskan pada musim haji yang lepas.

"TH telah menyerahkan lesen PJH kepada syarikat yang benar-benar layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan, dan mengingatkan agar syarikat pelancongan Islam yang lain memberi komitmen penuh untuk bersama-sama membendung penipuan perkhidmatan pakej haji,” katanya.

Dalam ucapan semasa majlis penyerahan lesen PJH itu semalam, Syed Saleh berkata, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya syarikat pelancongan yang tidak mempunyai lesen PJH menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji kerana melanggar Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995, Akta 535.

Beliau berkata, bakal haji yang berhasrat menunaikan haji melalui PJH diminta untuk tidak menyerahkan sebarang wang deposit kepada syarikat sekiranya belum menerima surat tawaran menunaikan haji.

"Insya-ALLAH, surat tawaran menunaikan haji akan dikeluarkan sedikit masa lagi,” katanya.

TH berharap orang ramai sentiasa mengambil langkah berhati-hati dan tidak mahu kes yang sama berlaku seperti tahun-tahun sebelum ini berulang apabila terdapat jemaah haji terkandas akibat ditipu oleh syarikat tidak berlesen.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, senarai PJH yang menerima lesen ini boleh disemak di laman web rasmi TH (http://www.tabunghaji.gov.my).

Sebagai peringatan tambahan, rakyat Malaysia hendaklah patuh kepada peraturan Kerajaan Arab Saudi iaitu mengerjakan haji menggunakan visa haji dan tidak menggunakan visa pelancong yang salah dari sisi peraturan Arab Saudi demi menjaga keselamatan jemaah sepanjang tempoh berada di Tanah Suci. - Bernama