Guru rugi, wang dalam dua akaun termasuk Tabung Haji lebur

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang guru lelaki mengalami kerugian selepas kehilangan wang simpanan dan akaun Tabung Haji berjumlah RM259,000 akibat terpedaya dengan helah sindiket penipuan ‘phone scam’ yang menyamar sebagai anggota polis.

Mangsa yang berusia 53 tahun itu pertama kali dihubungi suspek pada 26 Oktober lalu mendakwa kononnya dia terlibat dengan pengubahan wang haram.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek lelaki berkenaan menggunakan nombor telefon 011-51755069 dan menghubungi mangsa dengan memperkenalkan diri dari pihak Pusat Respone Scam Kebangsaan (NSRC).

Menurut beliau, mangsa kemudian dihubungi pula oleh seorang yang menyamar sebagai pengawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Ipoh dan memperdaya guru tersebut berhubung penglibatan mangsa dalam jenayah pengubahan wang haram terbabit.

“Mangsa diminta oleh individu yang mengaku sebagai pegawai penyiasat supaya memindahkan kesemua wangnya ke dalam dua akaun yang diberikan.

“Disebabkan percaya dan takut, guru berkenaan membuat memindahkan semua wangnya kepada dua akaun bank yang dikatakan konon dimiliki oleh juruaudit Bank Negara tujuan audit forensik,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, pada Jumaat.

Ujar beliau, pada 30 Oktober lalu hingga 8 November lalu, mangsa melakukan 10 kali transaksi sehinggalah dia tersedar wang tersebut tidak dikembalikan sebagaimana dijanjikan.

Justeru itu katanya, mangsa berasa ditipu oleh suspek lelaki berkenaan dan hadir ke balai untuk membuat laporan.

Artikel Berkaitan:

“Satu laporan polis dibuat oleh mangsa pada Khamis selepas RM259,000 wangnya ditipu.

“Kami memohon orang ramai supaya berhati-hati dengan kegiatan sindiket penipuan dengan modus operandi seperti ini bagi mengelak ramai mangsa tertipu,” kata beliau.

Tambah Mohd Rosdi, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!