Enam beranak maut: Syarikat pelancongan taja umrah buat anak sulung

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Sebuah syarikat pelancongan bermurah hati ingin untuk menaja pakej menunaikan umrah buat anak sulung kepada enam beranak yang maut dalam kemalangan pada Jumaat lalu.

Pengarah Syarikat Jay Ibrahim Al-Islam, Hariz Radzi berkata, pihaknya berjaya menghubungi Abdul Rahman Amir Ruddin, 19, selepas menguar-uarkannya di laman sosial Facebook dan akan menziarahinya.

Menurutnya, syarikat berkenaan turut berterima kasih kepada semua pihak yang memberikan maklumat mengenai anak sulung keluarga itu.

"Terima kasih sekali lagi, rakyat Malaysia sememangnya sangat prihatin. Mari sebarkan positiviti.

"Doakan usaha kecil kami ini dipermudahkan dan dapat memberi manfaat kepada adik Abdul Rahman dan keluarga serta mendapat keberkatan ALLAH SWT," ujarnya melalui ulasan di Facebooknya pada Ahad.

Terdahulu, Hariz melalui laman sosial tersebut meminta kerjasama orang ramai untuk memberikan maklumat tepat mengenai Abdul Rahman.

"Siapa yang ada nombor telefon adik ini, saya nak taja pergi buat umrah. Tolong hubungi saya supaya saya terus hantar ke Makkah,” katanya.

Pada Jumaat, Amir Ruddin Ismail, 46, bersama isteri, Norahimah Noor Muhammad, 43, dan empat anak mereka maut dalam kemalangan selepas kenderaan jenis Perodua Alza yang dinaiki dirempuh sebuah lori membawa muatan pasir sekitar jam 6.30 petang di Jalan Segamat-Kuantan dekat Taman Yayasan, Segamat, Johor.

Artikel Berkaitan:

Pasangan suami isteri itu bersama tiga anak mereka iaitu Fatimahtulzahrah,17; Seri Khadijah Aqilah,13, dan Rufaidatul Asyariyah,10, disahkan maut di lokasi kejadian manakala Muhammad Assyakrawi, 5, meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan.

Anak sulung keluarga itu, Abdul Rahman mengimamkan solat jenazah di Masjid Ubudiah, Muar pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Solat jenazah enam beranak diimamkan anak sulung
Enam beranak maut: Perkahwinan adik bongsu jadi pertemuan terakhir

Enam beranak maut: Johor sedia bantu anak sulung mangsa

'Arwah minta bergambar ramai-ramai, buat kenangan jika pergi dahulu'

Nahas 5 kenderaan: 6 sekeluarga disahkan maut

Lima sekeluarga maut, tiga cedera nahas tiga kenderaan

Enam beranak maut: Ahli keluarga adakan tahlil di bilik mayat hospital