Percepat projek kemudahan rakyat Sabah, tiada lagi alasan - Anwar

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

TENOM - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya pembangunan kemudahan rakyat Sabah termasuk bekalan air, elektrik dan Lebuh Raya Pan Borneo dipercepatkan, tanpa ada sebarang alasan lagi.

Beliau berkata penegasan itu perlu dilakukan kerana terdapat projek-projek pembangunan untuk kemudahan rakyat di negeri ini tertangguh, antaranya Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di sini yang mampu memberi bekalan elektrik dan air yang selesa untuk rakyat.

"Projek tertangguh antaranya menyebabkan dua kesan iaitu kos meningkat dan kesan kepada harapan rakyat untuk memperoleh kemudahan terutama untuk mendapatkan kemudahan bekalan elektrik dan air. Contohnya empangan ini, pastikan supaya ada perlaksanaan dan pemantauan supaya tiada alasan untuk lengahkan.

"...tekad ini amat kritikal, mendesak untuk rakyat, siapkan lebih cepat dan beri keselesaan kepada rakyat. Itu sikap kita mesti ada sekarang," katanya ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Empangan Hidroelektrik Ulu Padas pada Khamis.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) Datuk Annuar Ayub.

Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang dijangka siap pada 2029 dengan kos RM4 billion mempunyai kapasiti pembekalan elektrik 187.5 megawatt.

Empangan yang mempunyai kawasan tadahan 1,905 kilometer persegi itu dibangunkan UPP Holdings Sdn Bhd, dan ditubuhkan hasil kerjasama strategik SEC sebuah anak syarikat kerajaan negeri Gamuda Berhad dan Kerjaya Kagum Hitech JV Sdn Bhd.

Anwar berkata, selain empangan itu, projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah mengambil masa lama disiapkan, antara lain disebabkan isu kontraktor dan campur tangan keputusan politik, dan ia perlu diselesaikan segera bagi memberikan kemudahan pengangkutan terbaik untuk rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita pastikan urusan kontraktor lebih telus. (Lebuhraya) Pan Borneo ini sudah puluhan tahun, hampir siap di Sarawak. RM15 billion untuk projek ini bukan murah, saya minta Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) membuat pemantauan dan bagi kuasa untuk segerakan," katanya.

Beliau berkata selain untuk rakyat, kemudahan asas itu juga penting dalam usaha menarik masuk lebih ramai pelabur dengan menyediakan kemudahan yang diperlukan, sesuai dengan keperluan pelaburan terbabit.

Sementara itu, Anwar membidas tindakan sesetengah pemimpin politik yang mendakwa kononnya kerajaan Persekutuan tidak memberikan perhatian sewajarnya kepada Sabah, sedangkan menurutnya Kerajaan Perpaduan masa ini berusaha keras untuk membawa pembangunan demi kepentingan rakyat di negeri ini.

Beliau berkata, ada pemimpin politik terlibat memainkan sentimen bagi mendapatkan sokongan rakyat Sabah dengan membandingkan apa yang diberikan kerajaan Persekutuan kepada negeri ini dengan Pulau Pinang.

"Mereka dakwa di Pulau Pinang ada projek LRT RM10 billion, itu projek yang dibiayai swasta, bukan Persekutuan...boleh usaha dapatkan sokongan rakyat Sabah, tetapi jangan mainkan sentimen pecah belahkan rakyat kita semua," katanya.

Katanya pada 2024 sebanyak RM6.8 billion belanjawan pembangunan telah diperuntukkan untuk Sabah dan RM1.4 billion untuk Pulau Pinang, jumlah peruntukan tertinggi dalam sejarah negara (sekali gus) membuktikan keprihatinan kerajaan Persekutuan kepada Negeri di Bawah Bayu itu.

"Berapa peruntukan setahun (termasuk pengurusan) di Sabah? Lebih RM16 billion, ini terbesar untuk mana-mana negeri tetapi pembangkang kritik saya kenapa beri lebih kepada Sabah, saya jawab di Parlimen sebab Sabah ketinggalan bekalan air, elektrik lebih serius di Sabah berbanding negeri di Semenanjung," katanya.

Anwar berkata, sebagai seorang Perdana Menteri, beliau perlu melaksanakan tanggungjawab untuk membangunkan semua negeri, bagaimanapun tumpuan dan projek pembangunan perlu lebih diberikan kepada Sabah pada masa ini kerana negeri ini ketinggalan berbanding dengan negeri lain.