Kerajaan disyor jadikan NAFAS penyedia stok penimbal sumber makanan

Zamri ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Agung Tahunan NAFAS kali ke-50 di Bangi pada Rabu.
Zamri ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Agung Tahunan NAFAS kali ke-50 di Bangi pada Rabu.
A
A
A

BANGI - Kerajaan disyor menjadikan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) sebagai penyedia stok penimbal sumber makanan di Malaysia dalam menyokong Agenda Sekuriti Makanan Negara.

Cadangan itu menjadi antara intipati dikemukakan NAFAS dalam Memorandum Pertubuhan Peladang Tahun 2023 yang mewakili suara seluruh akar umbi pertubuhan berkenaan kepada pihak Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Zamri Yaakob berkata, pihaknya berharap agar NAFAS dipilih sebagai penyedia stok penimbal sumber makanan seperti jagung bijian, gandum, soya, bijirin, tepung, beras dan gula bagi pihak kerajaan.

Zamri (dua dari kiri) menyerahkan Memorandum Pertubuhan Peladang kepada Mahfuz yang seterusnya akan diangkat kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan.
Zamri (dua dari kiri) menyerahkan Memorandum Pertubuhan Peladang kepada Mahfuz yang seterusnya akan diangkat kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan.

Katanya, sehingga kini NAFAS telah pun terlibat dalam menyediakan stok penimbal bagi ayam bulat dan keratan sejuk beku.

“Kita turut cadangkan NAFAS dilantik sebagai pengedar tunggal benih padi sah kepada kilang-kilang pengeluar, kemudian pengedaran akan dibuat melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang dilantik oleh NAFAS. Ia sekali gus dapat membantu kerajaan dalam menangani isu ini di peringkat lapangan

“Kita juga berharap dibuat rundingan pembaharuan kontrak pembekalan baja dan input pertanian bagi tahun 2024. Untuk makluman kontrak pembekalan sedia ada bakal berakhir pada 31 Disember 2023,” katanya pada Mesyuarat Agung Agung Tahunan NAFAS kali ke-50, di sini pada Rabu.

Mahfuz (tengah) meneliti beberapa cadangan yang dikemukakan NAFAS dalam Memorandum Pertubuhan Peladang yang diserahkan Zamri kepada beliau.
Mahfuz (tengah) meneliti beberapa cadangan yang dikemukakan NAFAS dalam Memorandum Pertubuhan Peladang yang diserahkan Zamri kepada beliau.

Artikel Berkaitan:

Majlis perasmian mesyuarat itu disempurnakan Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPP merangkap Ketua Pendaftar Pertubuhan Peladang, Datuk Azulita Salim dan Pengurus Besar NAFAS, Muhammad Faris Arriffin.

Mengulas lanjut, Zamri menegaskan, NAFAS akan terus komited dalam memainkan peranan sebagai ‘rakan solusi’ kepada kerajaan dalam menjadi pembekal serta pengedar utama baja padi, racun dan kapur bermutu serta mencukupi untuk dibekalkan dan diedarkan kepada petani seluruh negara.

Menurutnya, bagi memastikan penambahbaikan dalam usaha pengedaran baja, NAFAS juga telah melaksanakan Kempen Penghantaran Lewat Sifar atau ‘Zero Late Delivery’ dan penambahan stok penimbal baja dalam usaha pembaharuan berterusan serta transformasi perniagaan untuk mengekalkan NAFAS terus relevan dan berdaya saing.

Mahfuz (dua dari kiri) turut melancarkan baja durian, NAS 888 dan kit pertanian bandar sempena perasmian Mesyuarat Agung Agung Tahunan NAFAS kali ke-50 di Bangi pada Rabu.
Mahfuz (dua dari kiri) turut melancarkan baja durian, NAS 888 dan kit pertanian bandar sempena perasmian Mesyuarat Agung Agung Tahunan NAFAS kali ke-50 di Bangi pada Rabu.

Sementara itu, pada majlis yang sama, NAFAS melancarkan produk pertanian berasaskan organik, ‘Weed Solut-Ion’ yang merupakan perjanjian kerjasama antara syarikat subsidiari NAFAS iaitu, NAFAS Agri Services Sdn Bhd bersama FGV Agri Services Sdn Bhd dan Pandawa Agri Indonesia.

Produk itu akan memberi manfaat kepada hampir 200,000 pesawah bagi pengurangan penggunaan racun sehingga 50 peratus dengan kos yang lebih rendah tanpa mengurangkan keberkesanan racun tersebut.

Serentak dengan itu turut dilancarkan produk baja durian, NAS 888 dan kit pertanian bandar.