Ubah suai kawasan sensitif alam sekitar tidak ganggu takungan air

Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan
A
A
A
KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan mewujudkan dua lagi jawatankuasa bagi meneliti dan melihat kembali cadangan pengubahsuaian Pemuliharaan dan Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, jawatankuasa itu akan bertindak membuat laporan akhir untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri akan menilai laporan yang dibuat oleh jawatankuasa itu.

"Perkara ini amat penting kepada kita kerana yang pertama untuk menjaga alam sekitar dan kedua mineral di situ," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bandar Baru Tunjong 2035 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) tidak bersetuju dengan keputusan Kerajaan Kelantan untuk melaksanakan cadangan perubahan kepada pelan pembangunan yang berkaitan dengan pengubahsuaian KSAS.
Artikel Berkaitan:


Mengulas lanjut, Mohamed Fadzli turut memberi jaminan pengubahsuaian KSAS tidak akan mengganggu kawasan takungan air dan Hutan Simpan Kekal (HSK).

"Pada masa yang sama kita hendak memanfaatkan sumber mineral yang ada di situ. Kita tidak mahu menghapuskan kawasan tadahan air dan HSK," katanya.

Beliau berkata proses publisiti dan penyertaan awam berhubung cadangan mengubah KSAS baru sahaja ditutup dan kini kerajaan negeri sedang menunggu laporan setiap jawatankuasa dilantik. - Bernama