Niat penduduk pertahan alam sekitar di Bukit Jelutong terhalang

Muhammad Taib kecewa selepas polis tidak membenarkan Persatuan Penduduk Bukit Jelutong mengadakan perhimpunan aman dijadualkan pada Sabtu ini. - Foto FB Bukit Jelutong
Muhammad Taib kecewa selepas polis tidak membenarkan Persatuan Penduduk Bukit Jelutong mengadakan perhimpunan aman dijadualkan pada Sabtu ini. - Foto FB Bukit Jelutong
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib kecewa selepas polis tidak membenarkan Persatuan Penduduk Bukit Jelutong mengadakan perhimpunan aman dijadualkan pada Sabtu ini.

Ujarnya, di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 Seksyen 15 Akta 736, penganjur hanya akan memberi pemberitahuan kepada pihak polis untuk mengadakan perhimpunan aman dan tidak boleh menghalang ia diadakan.

"Saya juga terkejut niat baik persatuan penduduk untuk mempertahankan 'green lung' dan kehijauan (kawasan) terhalang oleh pihak berkuasa dan seolah-olah pihak berkuasa memberi lampu hijau ke atas rancangan kepada kemusnahan alam sekitar Bukit Jelutong," katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, polis meminta penganjur dan peserta untuk tidak meneruskan himpunan lindung taman hijau yang dirancang diadakan di Jalan Bazar U8/101, Seksyen U8, Bukit Jelutong pada Sabtu.

Dalam pada itu, Muhammad berkata, semasa menjadi menteri besar pada 1994, kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan Guthrie untuk mengezon semula Bukit Jelutong daripada pertanian kepada perumahan.

Jelasnya, kerajaan negeri mengenakan syarat supaya sebahagian kawasan perumahan itu ditukar kepada kawasan hijau atau padang golf awam dan mengikut perancangan asal di kawasan hijau ini akan wujud padang-padang permainan.

“Guthrie (kini Sime Darby) sepatutnya menyerahkan tanah itu (untuk diwartakan) sebagai 'green lung' atau taman rekreasi untuk orang ramai. Bagaimanapun, ini tidak dilakukan.

“Ketika mereka menjual unit itu sebelum ini, pemaju menjanjikan kehijauan dan persekitaran yang baik kepada pembeli, yang menarik minat (pembeli).

Artikel Berkaitan:

“Persekitaran dan kehijauan akan musnah secara kekal sekiranya (tambahan) unit kediaman dibina di situ,” katanya.

Beliau sehubungan itu menyokong usaha persatuan penduduk untuk mempertahan persekitaran dan kehijauan dikekalkan di Bukit Jelutong.

"Majoriti penduduk menyokong usaha mengekalkan persekitaran dan kehijauan ini dan sepatutnya pihak pemaju dan pihak berkuasa yang lebih mempertahankan persekitaran dan kehijauan ini," tambahnya.

Sebelum ini media melaporkan Pusat Golf Bukit Jelutong akan dipindahkan untuk memberi laluan kepada projek perumahan.