Rejim Zionis cuba putar belit

Kakitangan agensi bantuan antarabangsa bersama penduduk Gaza pada Ahad meninggalkan Khan Yunis yang kini menjadi medan pertempuran baharu. - Foto AFP
Kakitangan agensi bantuan antarabangsa bersama penduduk Gaza pada Ahad meninggalkan Khan Yunis yang kini menjadi medan pertempuran baharu. - Foto AFP
A
A
A

TEL AVIV - "Kami tidak memaksa penduduk Palestin untuk meninggalkan rumah mereka secara kekal."

Kenyataan berbelit-belit itu dikeluarkan jurucakap Pasukan Pertahanan Israel (IDF), Jonathan Conricus pada Isnin sebagai cubaan untuk menutup rancangan jahat rejim Zionis yang didakwa sekali lagi cuba melakukan pengusiran secara paksa seperti dihadapi kira-kira 760,000 penduduk Palestin ketika Hari Nakba (malapetaka) sewaktu penubuhan negara haram Israel 75 tahun lalu.

"Kami hanya meminta orang awam tinggalkan medan tempur malah kami turut menyediakan zon kemanusiaan di Gaza memandangkan situasi yang semakin sukar," ujarnya ketika merujuk kepada kawasan kecil, al-Mawasi.

Conricus juga mengakui ruang dan akses yang terhad di Gaza ketika penduduk Palestin terpaksa mematuhi arahan gila Israel untuk bersesak di kawasan al-Mawasi tersebut.

Pada akhir minggu lalu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Hak Asasi Manusia (UNHCR), Volker Turk menyuarakan kebimbangan terhadap nasib ratusan ribu penduduk Gaza yang kini tiada tempat selamat untuk dituju.

"Mereka terkurung di kawasan lebih kecil di bahagian selatan wilayah tersebut," jelasnya.

Sementara itu, ketua agensi bantuan perubatan di Palestin, Melanie Ward menyifatkan peta zon pemindahan dikeluarkan IDF telah mencetuskan kekeliruan dan panik dalam kalangan penduduk Gaza.

"Hakikatnya, orang awam tidak boleh lari daripada hujan bom di wilayah tersebut malah undang-undang antarabangsa juga tidak dapat melindungi mereka," tambahnya menerusi platform X.

Artikel Berkaitan:

Pada Jumaat lalu, IDF mengumumkan peta baharu dilengkapi imbasan kod QR yang membahagikan Gaza kepada lebih 600 zon atas alasan untuk mengelakkan lebih ramai orang awam terkorban akibat serangan yang kembali diperhebatkan ke seluruh wilayah berkenaan. - AFP