Daging kering penyu, sirip yu lebih RM4.5 juta dirampas

Jauteh menunjukkan gambar hidupan laut yang dirampas dari sebuah kapal yang ditahan di Kudat.
Jauteh menunjukkan gambar hidupan laut yang dirampas dari sebuah kapal yang ditahan di Kudat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Daging kering penyu dan sirip ikan yu bernilai lebih RM4.5 juta antara hasil laut yang berjaya dirampas dalam Op Taring Gelora di perairan antara Pulau Banggi dan Pulau Bangsi, Kudat, pada Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, empat individu berjaya meloloskan diri dengan terjun ke laut bagi mengelak daripada ditangkap.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasilan laut itu berjaya dirampas selepas bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) mengesan sebuah kapal yang mencurigakan.

"Ketika bot marin menghampiri kapal tersebut untuk tujuan pemeriksaan, malangnya kapal itu cuba membelok dan memecut ke arah kawasan cetek ke arah perairan negara jiran.

"Kapal itu berjaya dikejar selepas terkandas antara Pulau Banggi dan Pulau Bangsi. Ketika pasukan marin cuba menaiki kapal tersebut, empat individu terjun menuju ke kawasan batu karang sebelum sebuah bot pam mengambil mereka menuju ke perairan antarabangsa," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah pada Isnin.

Tambah Jauteh lagi, hasil pemeriksaan lanjut pada kapal tersebut membawa kepada penemuan hasil laut yang terdiri daripada hidupan yang dilindungi.

"Hasil pemeriksaan mendapati terdapat banyak karung yang mengandungi bahan kering hasil laut termasuk 300 guni mengandungi daging kering penyu dengan berat 9,000 kilogram (kg), 66 guni kulit kerang dan siput pelbagai spesies bernilai RM37,500 manakala balat susu dan kuda laut yang dikeringkang bernilai RM300,000.

"Selain itu, rumpai laut yang dikeringkan bernilai RM12,000, gelembung ikan dan beberapa spesies hidupan lain bernilai RM7,500 serta sirip yu bernilai RM10,000 turut dirampas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jauteh dalam pada itu berkata, usaha mengesan kesemua suspek yang berjaya meloloskan diri sedang dilakukan oleh pihak polis dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

"Kita juga percaya semua bahan yang dirampas tidak semestinya dari Sabah, contohnya yang empat individu terjun kapal berkenaan telah melarikan diri dibawa ke perairan antarabangsa.

"Kita mengesyaki bahawa ini bukan warga kita dan berdasarkan situasi kita percaya bahawa daging penyu ini bukan saja dari negara kita tetapi dari negara jiran iaitu perairan Laut Sulu dan Laut China Selatan.

"Hasilan laut yang dirampas ini juga ada pembeli dan dipasarkan untuk luar negara," katanya.

Sehubungan itu, Jauteh berharap masyarakat setempat memberi kerjasama dalam usaha melindungi hasil laut yang merupakan salah satu daya tarikan pelancong ke negara ini.