Empat rakan ditahan, dadah bernilai RM2.54 juta dirampas

Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM2.54 juta hasil penahanan empat lelaki yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
Mohd Yusri (dua dari kiri) menunjukkan rampasan dadah bernilai RM2.54 juta hasil penahanan empat lelaki yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah.
A
A
A

IPOH - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah didalangi empat rakan dalam serbuan di dua lokasi sekitar Ipoh, minggu lalu.

Dalam tangkapan sekitar jam 5 petang itu, polis berjaya merampas dadah lebih 72.49 kilogram bernilai hampir RM2.54 juta.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di Klebang Tropika dekat sini telah menahan dua lelaki berusia 25 dan 36 tahun.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas sebuah kereta menjumpai bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 72.494 kilogram.

"Susulan tangkapan itu, polis telah menjejaki dua lagi lelaki yang merupakan rakan jenayah di sebuah rumah di Kampung Rapat.

"Dua suspek berusia 30 dan 40 tahun itu dikesan terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis methamphetamine tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Isnin.

Mohd Yusri berkata, sindiket itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran sejak awal Mei lepas untuk pasaran tempatan seluruh negeri.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati, kesemua suspek mempunyai rekod kesalahan kes jenayah dan dadah.

"Ujian saringan dijalankan mendapati hanya seorang suspek berusia 30 tahun positif dadah," katanya.

Beliau berkata, keempat-empat suspek yang antaranya bekerja sebagai pemandu lori dan pengawal keselamatan telah direman selama tujuh hari sehingga 3 Ogos ini bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

"Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 atas sitaan dua kereta, sebuah motosikal dan dua barang kemas dianggarkan bernilai RM74,267," katanya.