Bina pusat pelupusan sisa kimia tangani pencemaran sungai, laut

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

PASIR GUDANG - Sebuah kilang khas atau pusat pelupusan sisa kimia perlu dibina di Johor dalam usaha menangani masalah pencemaran sungai dan laut yang berpunca daripada sisa atau bahan buangan industri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kemudahan rawatan sisa buangan bersepadu lengkap dengan teknologi terkini dan mesra alam itu perlu dibina di Pasir Gudang atau Pengerang.

"Secara peribadi saya suarakan perkara ini kepada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad bulan lalu bagi menangani masalah pencemaran terutama mengelak tragedi Sungai Kim Kim daripada berulang.

"Insiden pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim di Pasir Gudang yang menggemparkan negara pada 2019 jelas menunjukkan kepentingan pusat pelupusan seumpama itu.

"Selagi pusat pelupusan sisa kimia terjadual ini tidak diwujudkan, saya merasa bimbang, kerana sepatutnya sudah ada (pusat pelupusan) di Pasir Gudang.

"Jadi, saya telah cadang kepada menteri (Nik Nazmi) dalam satu taklimat sebulan lepas dan beliau mengambil maklum berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui di sini pada Isnin.

Hassan berkata, kewujudan pusat berkenaan akan dapat mengurus semua sisa buangan kimia terjadual dengan lebih cermat dan teratur.

Katanya lagi, kewujudan pusat itu juga mengurangkan kos penghantaran bagi melupus sisa kimia yang perlu dihantar ke tempat pengurusan sisa di Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

"Jika ia tidak diwujudkan di Pasir Gudang, mungkin boleh di Pengerang atau kawasan berdekatan, kalau tidak, terpaksa sisa kimia dihantar ke Negeri Sembilan.

"Belanja pula besar dan jauh, jadi ini juga boleh mengelakkan syarikat-syarikat buang sisa kimia ke dalam sungai," katanya.

Menurutnya, cadangan sama pernah dibangkitkannya di Parlimen kepada bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, sekali gus mengharapkan agar dapat direalisasikan kerajaan ketika ini.