Khuatir longgokan sisa sawit undang pencemaran

Longgokan sisa sawit di tapak lombong berdekatan Sungai Muda dikhuatiri mengundang pencemaran. Gambar kecil: Bau Wong, Saad
Longgokan sisa sawit di tapak lombong berdekatan Sungai Muda dikhuatiri mengundang pencemaran. Gambar kecil: Bau Wong, Saad
A
A
A

SUNGAI PETANI - Longgokan sisa kelapa sawit yang didakwa dibuang pihak tertentu di tapak lombong dekat Kampung Ekor Lubuk, Sidam Kiri berdekatan Sungai Muda di sini mengundang kebimbangan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

Abdullah Ismail, 73, mendakwa, perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu disedari sejak kira-kira dua bulan lalu.

"Kawasan lombong pasir ini dipercayai milik persendirian. Apabila terdapat longgokan sisa sawit di sini, penduduk bimbang berlaku pencemaran terutama pada musim hujan.

"Air daripada sisa sawit boleh mengalir ke Sungai Muda dan kami khuatir akan menyebabkan pencemaran lebih teruk kepada ekosistem sungai serta sumber air domestik," dakwanya.

Seorang lagi penduduk, Saad Hussin, 57, mendakwa dia sendiri menyaksikan ribuan ekor ikan antaranya lampam dan ikan pucuk pisang mati pada November lalu selepas sisa sawit dilonggokan bermula awal Oktober lalu.

Dakwanya aktiviti lombong pasir di kawasan itu dijalankan sejak 1980-an dan pernah terhenti beberapa kali sebelum diteruskan sehingga Ogos lalu.

"Saya bimbang aktiviti lombong pasir ini akan menyebabkan hakisan di tanah milik saya yang terletak bersebelahan.

"Saya sudah buat aduan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG), pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Ahli Parlimen Sungai Petani, namun sehingga kini tiada tindakan diambil," dakwanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek berkata, hasil pemantauan di lokasi kejadian mendapati terdapat longgokan sisa kelapa sawit yang dibiarkan berdekatan tapak lombong di kampung berkenaan.

Menurutnya, apa yang menjadi kebimbangan ialah kesan pembuangan sisa berkenaan dikhuatiri mengundang pencemaran air dan udara.

"Kawasan longgokan ini terletak bersebelahan dengan sungai dan tanah persendirian, kalau mereka tambun di kawasan persendirian tak jadi masalah tetapi dua-dua kawasan berdekatan sungai.

"Kita kena kenal pasti juga sama ada (ia adalah) sisa sawit sahaja atau ada bahan buangan lain seperti sisa toksid berikutan terdapat loji air yang kemungkinan mendatangkan risiko sekiranya ia berbahaya," katanya.

Bau Wong berkata, perkara itu akan dibawa kepada pihak berwajib seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Alam Sekitar, Pejabat Tanah dan Daerah dan lain-lain untuk diambil tindakan sekiranya perbuatan itu menyalahi undang-undang.

Jelasnya, dakwaan penduduk mengatakan terdapat banyak ikan darat mati sejak dua bulan lalu juga akan diambil kira dalam siasatan.

"Saya telah bercakap dengan kakitangan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam yang turut hadir ke lokasi bagi melakukan pemantauan setelah melihat aduan dari laman sosial Facebook," katanya.